Skip to main content

Dunia

Agong enggan dikaitkan dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia jika budaya penderaan terus berlaku

Anggaran Waktu Membaca:
Agong enggan dikaitkan dengan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia jika budaya penderaan terus berlaku

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Konvokesyen Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. (Gambar: Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Diterbitkan : 04 Dec 2024 04:32PM Dikemas Kini : 04 Dec 2024 04:33PM
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengarahkan supaya budaya penderaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu dihentikan serta-merta.

Selaku Canselor UPNM, beliau meminta semua pihak untuk berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik universiti berkenaan.

“Jika ia terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.

“Saya percaya, ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera dan bukannya untuk didera,” kata Sultan Ibrahim.

Yang di-Pertuan Agong berkata demikian pada Istiadat Pemasyhuran beliau sebagai Canselor UPNM dan Konvokesyen ke-14, pada Selasa (3 Dis).

Sultan Ibrahim berkata falsafah UPNM adalah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan.

Oleh sebab itu, beliau berkata universiti tersebut turut dikawal selia oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Akademi Latihan Ketenteraan.

“Ini bermakna, disiplin dan budaya tentera adalah menjadi falsafah utama universiti ini. Namun begitu, saya merasa dukacita dengan budaya penderaan yang berlaku, sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai kadet pada tahun 2017.

“Bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras, tetapi ini tidaklah sampai mendera hingga menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Lebih mendukacitakan saya, walaupun kejadian penderaan sebelum ini telah dihadapkan ke mahkamah, tetapi perkara ini masih terus berlaku pada setiap tahun, seperti tiada usaha yang serius diambil oleh mana-mana pihak,” kata Sultan Ibrahim.
 
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita