Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agong berharap M'sia & SG kembang kerjasama keterjaminan makanan, ekonomi hijau

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar Malaysia dan Singapura boleh mengembangkan kerjasama dalam bidang baru seperti ekonomi digital, ekonomi hijau serta keterjaminan makanan.

Menurut Seri Paduka, Singapura secara konsisten kekal sebagai antara rakan dagangan utama Malaysia di mana republik itu adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan sebaliknya.

"Adalah menjadi harapan beta agar hubungan yang erat ini akan terus mekar bagi mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada demi kepentingan bersama kedua-dua negara dan rakyat pada tahun-tahun akan datang," titah Agong.

Al-Sultan Abdullah berkata demikian semasa Majlis Jamuan Negara bagi meraikan Presiden Halimah Yacob dan delegasinya di Istana Negara hari ini (21 Mac).

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menghadiri majlis itu.

Awal dari itu, Puan Halimah diberikan sambutan negara di Istana Negara sempena lawatan sulungnya selama tiga hari ke Malaysia yang bermula semalam.

Memandangkan kedua-dua negara sentiasa berkongsi hubungan yang utuh serta erat, Al-Sultan Abdullah yakin bahawa jalinan persahabatan yang kukuh antara rakyat Malaysia dan Singapura akan terus menjadi faktor penting yang membentuk teras dalam hubungan dua hala.

"Kita berkongsi silaturahim agak unik serta terikat dengan pelbagai faktor seperti perkongsian sejarah, persamaan budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat termasuk perkaitan kekeluargaan," menurut Seri Paduka.

Sementara itu, sebagai anggota pengasas ASEAN, Seri Paduka berkata Malaysia dan Singapura perlu terus menjalin kerjasama yang erat dalam mempromosikan kestabilan dan keselamatan di rantau ini serta menjadikan ASEAN sebagai perkumpulan serantau yang dinamik.

Berhubung lawatan itu, Seri Paduka berkata umpama aur dengan tebing, lawatan Presiden Singapura buat julung kalinya ke Malaysia adalah bukti hubungan kukuh serta persaudaraan erat antara kedua-dua negara dan rakyat.

"Adalah menjadi harapan beta agar lawatan negara ini akan memperkasa hubungan yang telah sekian lama terjalin dan membuka ruang kepada interaksi aktif Malaysia dan Singapura dalam meneroka pelbagai peluang dan bidang baru serta mencari penyelesaian terbaik terhadap pelbagai perkara berbangkit," menurut Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar lawatan tersebut membawa kenangan manis kepada Puan Halimah sambil mendoakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik kepada Presiden Singapura itu dan suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee.

"Beta dan Raja Permaisuri Agong turut ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan yang bakal kunjung tiba kepada Puan Yang Terutama sekeluarga serta kepada rakyat Malaysia dan Singapura beragama Islam," titah Seri Paduka.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan