Agihan bantuan Israel 'perangkap maut' bagi penduduk Gaza: Ketua UNRWA
Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal membawa beg-beg makanan dari gudang Program Makanan Sedunia di Carikan Gaza pada 28 Mei 2025. (Gambar: Eyad BABA / AFP)
Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa hampir 50 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 200 lagi cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penduduk Palestin yang sedang mendapatkan bantuan kemanusiaan berhampiran pusat agihan di bandar Rafah, selatan Gaza, pada Ahad (1 Jun).
“Pengagihan bantuan telah menjadi perangkap maut,” kata Encik Lazzarini dalam satu kenyataan.
Israel merancang untuk menubuhkan empat pusat agihan bantuan di selatan dan tengah Gaza, yang menurut media Israel bertujuan memindahkan penduduk Palestin dari utara ke selatan wilayah itu.
“Sistem yang mengaibkan ini telah memaksa ribuan penduduk yang kelaparan dan terdesak berjalan sejauh puluhan batu ke kawasan yang hampir musnah sepenuhnya akibat pengeboman tentera Israel,” katanya.
“Penghantaran dan pengagihan bantuan mesti dilaksanakan secara menyeluruh dan selamat. Di Gaza, perkara ini hanya boleh dilakukan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk UNRWA,” tambah beliau.
Ketua UNRWA itu turut menggesa Israel supaya menamatkan sekatannya ke atas Gaza dan membenarkan PBB mendapat akses selamat dan tanpa halangan bagi membawa masuk serta mengagihkan bantuan kemanusiaan.
“Ini satu-satunya cara untuk mengelakkan kebuluran besar-besaran, termasuk dalam kalangan satu juta kanak-kanak,” katanya lagi.
“Dengan pelbagai naratif bersaing dan kempen penyelewengan maklumat yang giat dijalankan, media antarabangsa mesti dibenarkan memasuki Gaza untuk melaporkan secara bebas mengenai kekejaman yang sedang berlaku termasuk jenayah kejam pagi ini.”
Menurut Pejabat Media Pemerintah Gaza, sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 305 lagi cedera akibat tembakan Israel berhampiran pusat agihan bantuan sejak mekanisme agihan itu bermula pada 27 Mei lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.