Skip to main content

Dunia

Agensi pelarian PBB mohon dana bantuan AS$16j bagi mangsa gempa Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
Agensi pelarian PBB mohon dana bantuan AS$16j bagi mangsa gempa Myanmar

Pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat menyusuli gempa bumi Myanmar. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 05 Apr 2025 02:56PM Dikemas Kini : 05 Apr 2025 02:57PM
GENEVA: UNHCR, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu dana berjumlah AS$16 juta (S$21.4 juta) bagi membantu 1.2 juta mangsa yang terselamat daripada gempa bumi dahsyat di Myanmar pada minggu lalu.

Jurucakap UNHCR Babar Baloch berkata pihaknya akan menggunakan dana itu untuk memperluas usaha bantuan kecemasan, menguruskan pusat pemindahan sementara dan menyokong golongan rentan di enam wilayah terjejas sehingga hujung tahun ini.

Dalam tempoh seminggu sejak Myanmar dilanda gempa bumi, UNHCR telah menyalurkan sedia ada di dalam negara termasuk kepingan plastik dan set dapur kepada kira-kira 25,000 mangsa terselamat di wilayah Mandalay, Sagaing dan Bago.

Ini selain ibu negara Naypyidaw dan sebahagian negeri Shan.

Sebagai sebahagian daripada respons antara agensi terhadap gempa bumi itu, UNHCR mengetuai bersama tindak balas mengenai tempat perlindungan, barangan bantuan kecemasan, penyelarasan kem dan perlindungan.

“UNHCR juga sedang menggerakkan bekalan dari gudang-gudang di Myanmar bagi membantu tambahan 25,000 mangsa, namun perlu mengisi semula stok dengan segera untuk memenuhi keperluan besar di kawasan terjejas gempa bumi, selain konflik empat tahun dan pemindahan penduduk,” katanya dalam sidang media pada Jumaat (4 Apr) di Palais des Nations di Geneva.

Dana tambahan itu membolehkan UNHCR mendapatkan dan mengagihkan kit perlindungan kecemasan serta barangan bantuan, selain menyediakan bantuan kepada mangsa terselamat pada minggu dan bulan awal proses pemulihan.

Di kawasan yang mempunyai pusat pemindahan sementara, UNHCR akan menyelaras usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan risiko.

Melalui dana itu juga, UNHCR akan memperkukuh perkhidmatan perlindungan termasuk bantuan guaman, sokongan psikososial dan intervensi bagi kanak-kanak, wanita serta golongan kurang upaya.

Usaha turut diteruskan bagi menyokong dan memudahkan akses kemanusiaan yang selamat ke kawasan terjejas melalui perkongsian tempatan.
Sumber : Bernama/HA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita