Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agensi pelancongan Malaysia lega ibadah umrah dibenarkan semula, harap SOP dipertingkat

Anggaran Waktu Membaca:
Agensi pelancongan Malaysia lega ibadah umrah dibenarkan semula, harap SOP dipertingkat
Diterbitkan : 27 Jan 2022 08:41PM Dikemas Kini : 27 Jan 2022 08:42PM

KUALA LUMPUR: Agensi pelancongan umrah di Malaysia melahirkan rasa lega terhadap keputusan kerajaan negara itu membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah berkenaan bermula 8 Februari ini, namun berharap usaha penambahbaikan dilakukan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Travenexx Tour Sdn Bhd, Hairul Anwar Ali, berkata ini termasuk mengetatkan semula peraturan penempatan jemaah sewaktu mengerjakan umrah.

“Pada awal Oktober lepas, SOP mengerjakan umrah menetapkan hanya dua jemaah ditempatkan dalam satu bilik di bawah visa umrah, selain hanya 25 orang penumpang dalam sebuah bas.

“Namun pada akhir November lepas, SOP mula longgar dan kebanyakan jemaah ditempatkan empat orang dalam satu bilik. Selain itu, saya juga melihat para jemaah berkumpul ramai apabila tiba waktu makan.

“Jadi mungkin pihak agensi boleh berbincang dengan pihak hotel untuk melakukan penambahbaikan antaranya membungkus makanan untuk dihantar ke bilik jemaah bagi mengelakkan penyebaran COVID-19,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis (27 Jan).

BACA: M'sia benarkan semula rakyat tunai umrah mulai 8 Feb

Hairul menambah, setiap jemaah juga digalakkan membawa kit ujian saringan COVID-19 tambahan bagi memudahkan mereka membuat pemeriksaan status kesihatan.

“Apabila jemaah mempunyai simptom seperti demam serta batuk terus buat pemeriksaan dan maklumkan kepada agensi pelancongan umrah yang membawa mereka sekiranya positif,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Razali Mohd Sham mengalu-alukan pembukaan semula aktiviti umrah itu dan berharap jemaah turut menilai situasi COVID-19 sekarang sebelum meneruskan perjalanan.

“Banyak perkara yang perlu dikaji oleh jemaah antaranya faktor kesihatan, peningkatan COVID-19 dan keselamatan.

“Selain itu, saya berharap agensi yang menguruskan umrah dapat mengawal jumlah jemaah yang bakal berlepas kerana saya percaya dianggarkan antara 10,000 dan 20,000 jemaah yang terpaksa menangguhkan perjalanan berikutan penggantungan aktiviti itu sejak 8 Jan lepas,” kata beliau.

Beliau juga berharap agensi pelancongan dan umrah yang terbabit dapat merancang semula aktiviti jemaah umrah masing-masing.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri memaklumkan Kabinet memutuskan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Feb ini selepas aktiviti itu ditangguhkan hampir sebulan.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan