Agensi kawalan sempadan 'sehenti' baharu Malaysia kurangkan birokrasi, tangani kesesakan
Penumpang bas dari Singapura tiba di bangunan imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, Malaysia pada 21 Okt 2022. (Gambar: Facebook/UKK BSI)
Penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu bertujuan menyelaras pelbagai langkah kawalan sempadan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan menangani masalah kesesakan di sempadan negara itu.
AKPS akan mengendalikan kesemua 114 pusat pemeriksaan sempadan Malaysia, secara bertahap-tahap, lapor The Star pada Jumaat (31 Jan).
Di bawah fasa pertama, agensi itu akan mengendalikan 22 pusat pemeriksaan termasuk di Koswe dan Laluan Kedua antara Singapura dengan Johor.
AKPS dianggap sebagai sebuah agensi sehenti kerana ia melibatkan pelbagai pihak seperti polis, jabatan imigresen, kastam, pengangkutan, Kementerian Kesihatan dan agensi penguatkuasaan maritim.
Seorang pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri Malaysia memberitahu agensi berita The Star bahawa 114 pusat pemeriksaan itu melibatkan 56 melalui laut, 30 di darat dan 28 di lapangan terbang.
"Sarawak mempunyai jumlah pusat pemeriksaan paling banyak dengan 34, disusuli Johor (16) dan Sabah (14)," kata pegawai itu, sambil menambah beliau berharap agensi sehenti tersebut dapat membantu mengurangkan kesesakan di sempadan darat dengan Singapura.
"Matlamat utama agensi itu adalah untuk menjadi satu-satunya agensi penguatkuasaan dalam kawalan sempadan di semua pusat pemeriksaan kami di seluruh negara. Ia akan mengambil masa sebelum AKPS mengambil alih kesemua 114 pusat pemeriksaan di seluruh negara," jelas pegawai itu, sambil menambah bahawa para pegawai ditugaskan untuk mengoptimumkan keperluan dan sumber tenaga kerja.
Media tempatan melaporkan bahawa Kabinet Malaysia telah bersetuju untuk menubuhkan AKPS pada April 2024.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, memberitahu The Star bahawa AKPS akan beroperasi di empat lokasi di Johor mulai 1 Feb.
"Kami berharap peralihan tersebut akan berjalan dengan lancar di kedua-dua pemeriksaan (darat) kami dengan Singapura.
"Kerajaan negeri berharap ini akan bantu mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan kami," jelasnya, sambil menambah bahawa terdapat lebih 20 agensi yang mengendalikan pelbagai peranan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
"Kami menjangkakan dengan AKPS, kesemua kerenah birokrasi boleh dikurangkan, terutama sekali yang berkait dengan penyelarasan dan arahan," kata Encik Mohamad Fadzil.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.