Agensi cegah jenayah Malaysia gesa vape segera diharamkan di seluruh negara
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa pihak berwajib di peringkat persekutuan supaya mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik secepat mungkin dalam usaha melindungi kesihatan awam.
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa pihak berwajib di peringkat persekutuan untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan vape atau rokok elektronik secepat mungkin. (Gambar fail: Bernama)
Naib Pengerusi Kanan MCPF Ayub Yaakob berkata langkah berkenaan penting bagi mencegah risiko jangka panjang kesihatan khususnya dalam kalangan golongan belia dan mereka yang belum dewasa, yang kini semakin terdedah kepada produk berbahaya terbabit.
“MCPF menyokong penuh langkah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (4 Ogos).
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata KKM sedang meneliti secara terperinci langkah ke arah pengharaman sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di Malaysia.
Beliau dipetik berkata sebarang cadangan pengharaman penuh akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk bukti saintifik, kes EVALI (kecederaan paru-paru yang dikaitkan dengan penggunaan rokok elektronik atau vape), aspek perundangan, implikasi terhadap industri, ekonomi serta keberkesanan penguatkuasaan.
Encik Ayub berkata MCPF bimbang sekiranya perkara itu tidak ditangani lebih awal, ia akan menyebabkan isu seperti penagihan dan penyalahgunaan dadah yang kini sudah merebak ke dalam penggunaan vape.
Selain itu, beliau berkata MCPF turut mencadangkan KKM agar dapat memperketat kawal selia terhadap produk merokok melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
“Pemantauan berkala perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengesan penjualan produk vape secara haram menerusi platform online kepada golongan belia.
“MCPF turut menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau serta bertindak secara bersepadu dalam menghentikan pembekalan dan penjualan rokok seludup,” kata beliau.
Encik Ayub berkata, MCPF turut mencadangkan agar kempen kesedaran mengenai isu itu diperhebat menerusi pelbagai platform media sosial dan arus perdana, dengan penglibatan tokoh belia, pempengaruh media sosial serta pengamal perubatan bagi menyampaikan fakta berhubung risiko penggunaan vape.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.