Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Agensi agama M'sia salur bantuan lebih RM4.5 juta kepada mangsa banjir

Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membelanjakan lebih RM4.5 juta (S$1.4 juta) bagi menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir di negeri yang terjejas, kata Menterinya Idris Ahmad.

Anggaran Waktu Membaca:

BENTONG: Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membelanjakan lebih RM4.5 juta (S$1.4 juta) bagi menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir di negeri yang terjejas, kata Menterinya Idris Ahmad.

Beliau berkata selain barangan makanan dan wang tunai, pihaknya turut menyumbang pelbagai keperluan asas antaranya selimut, pek kebersihan, kelengkapan solat dan barangan elektrik.

Menurutnya, pemberian sumbangan itu dimulakan sejak dua minggu lalu melibatkan beberapa agensi agama antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

“Sejurus berlaku banjir, kita bentuk jawatankuasa khas untuk mengelola dan menyelaraskan bantuan, khususnya kepada negeri terjejas teruk seperti Selangor dan Pahang.

“Selepas ini, mungkin kami akan turun ke Terengganu dan Kelantan untuk bantuan dan diharap sumbangan kami yang sedikit ini, dapat meringankan beban ditanggung mereka,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan wang tunai dan keperluan asas kepada mangsa banjir di surau Kampung Lengkong hari ini (1 Jan).

Bagi program hari ini, kira-kira RM136,000 (S$43,916) diperuntukkan untuk membantu penduduk Karak dan Bentong yang kehilangan harta benda akibat banjir.

Sementara itu, penduduk Kampung Lengkong, Nabsiah Mat Tah, 62, berkata bantuan yang diterima itu akan digunakan untuk membaiki sistem pendawaian rumahnya yang rosak selepas dilanda banjir pada 19 Disember lalu.

“Untuk baiki elektrik perlu modal agak besar, jadi apabila ada bantuan sebegini dapat ringankan perbelanjaan kami, yang kini tinggal sehelai sepinggang. Banyak lagi kerosakan yang perlu dibaiki dan dibeli baru terutama barangan elektrik,” katanya yang menetap di kampung itu sejak lima tahun lalu.

Bagi Aziz Rizal, 66, pula beliau berbesar hati menerima pelbagai bantuan seperti toto, kelengkapan solat dan wang tunai, yang sememangnya diperlukan selepas rumahnya ditenggelami air hampir paras bumbung.

“Syukur sangat ramai datang bantu dan macam-macam dapat, makanan semua cukup…memang sedih sebab masa banjir barang dalam rumah semua habis,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan