Agenda politik Taliban: Apa yang diketahui setakat ini
Adakah pemerintahan Taliban kini jauh berbeza daripada yang dahulu? Apa pula persamaannya? Berikut apa yang diketahui setakat ini...

(Gambar: AP)
KABUL: Sebulan selepas merampas kuasa menyusuli serangan kilat merata Afghanistan, Taliban minggu ini membentuk pemerintah sementara mereka. Namun, agenda politik kumpulan itu masih belum lagi jelas.
Keadaan ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Afghanistan itu sendiri dan dunia, yang bimbang kumpulan itu mahu hidupkan semula pemerintahan tegar mereka yang didakwa menindas wanita dan media bebas seperti yang dilakukan antara 1966 hingga 2001.
Meskipun masih belum jelas, ini yang kita ketahui setakat ini tentang arah tuju agenda politik mereka:
HAK ASASI WANITA
Ini adalah salah satu dasar Taliban yang paling dinanti-nantikan.
Bagaimana kepimpinan yang hanya terdiri daripada kaum lelaki itu memperlakukan wanita amat penting bagi penyambungan semula bantuan ekonomi Barat yang sangat diharapkan negara itu.
Sejak mereka kembali berkuasa pada 15 Ogos, Taliban menyatakan mereka akan menghormati hak asasi wanita sesuai dengan undang-undang syariah Islam, tanpa mengulas lanjut. Sepanjang pentadbiran mereka sebelum ini, wanita diwajibkan memakai burqa, dan dilarang bekerja atau belajar kecuali dalam keadaan tertentu yang jarang-jarang berlaku.
Kini sebilangan besar wanita diarah supaya tidak kembali bekerja sehingga Taliban memperhalusi "sistem baru", sementara sebilangan duduk di rumah kerana takut akan serangan balas di masa depan kerana bekerja.
Murid perempuan di sekolah rendah dibenarkan kembali bersekolah tetapi tidak pula di peringkat menengah.
Taliban menyatakan langkah itu bersifat sementara, tetapi ramai yang sangsi terhadap kata-kata kumpulan itu.
Wanita Afghanistan yang belajar di universiti swasta dibenarkan menyambung pelajaran dalam kelas diasingkan mengikut jantina dengan peraturan memakai jubah dan niqab.
KEBEBASAN MEDIA
Selepas mengambil alih kuasa, Taliban mengumumkan bahawa wartawan - termasuk wanita - boleh terus bekerja.
"Kami akan menghormati kebebasan media kerana laporan media memberi manfaat kepada masyarakat dan dapat membantu memperbaiki kesilapan pemimpin," kata seorang jurucakap Taliban kepada Reporters Without Borders.
Sebulan kemudian, nadanya telah berubah. Menurut RSF, kumpulan itu telah mengenakan 11 peraturan ke atas wartawan Afghanistan yang mereka kini harus patuhi.
Salah satunya adalah larangan menyiarkan "bahan yang bertentangan dengan Islam" atau dianggap "menghina tokoh awam".
Peraturan-peraturan itu dapat digunakan untuk mengambil tindakan terhadap wartawan dan memberi laluan kepada penapisan, kata RSF.
Bahkan sebelum pengumuman garis panduan baru itu pada pertengahan September, ramai wartawan sudah melarikan diri dari negara itu.
Mereka yang tidak dapat melakukan demikian bersembunyi di rumah kerana takut akan tindak balas Taliban.
Beberapa wartawan Afghanistan ditangkap atau dipukul di luar tunjuk perasaan anti Taliban baru-baru ini.
BUDAYA
Semasa di bawah pentadbiran Taliban yang menguasai Afghanistan pada 1990-an kumpulan itu melarang muzik, fotografi, televisyen, dan bahkan permainan kanak-kanak seperti layang-layang.
Kumpulan itu meletupkan patung Buddha raksasa di Bamiyan beberapa bulan sebelum mereka digulingkan.
Kali ini, Taliban belum mengeluarkan dikri rasmi mengenai hiburan dan budaya.
"Muzik dilarang dalam Islam," kata jurucakap Zabihullah Mujahid kepada New York Times bulan lalu.
Sekolah-sekolah muzik ditutup dan sebilangan pemain sudah memusnahkan alat muzik mereka sendiri.
Perpustakaan, muzium dan galeri juga ditutup dengan pakar warisan bimbang sama ada artifak purba akan dilindungi dan akses kepada bahan-bahan kesusasteraan dibenarkan.
EKONOMI
Ini adalah salah satu cabaran paling mendesak yang harus ditangani oleh rejim baru itu.
Afghanistan sedang menghadapi krisis kewangan berikutan pengambilalihan kuasa itu, dengan sebahagian bantuan antarabangsa yang sebelum ini menyokong ekonomi, kini dibekukan.
Program ekonomi Taliban masih sangat tidak jelas.
"Kami akan mengusahakan sumber semula jadi dan sumber daya kami untuk merancakkan semula ekonomi kami," kata Mujahid.
Namun masih belum jelas bagaimana Taliban akan membiayai gaji penjawat awam - atau menyokong prasarana penting untuk memastikan perbekalan asas seperti air lampu air dan khidmat telekomunikasi dapat diteruskan.
Di tengah-tengah krisis ini dan ketika penduduk bergelut untuk menyara hidup mereka, Taliban menekankan tekadnya untuk membasmi masalah rasuah, yang membelenggu pemerintahan sebelumnya.
KESELAMATAN DAN DADAH
Ramai warga Afghanistan melaporkan rasa lebih selamat sejak Taliban mengambil alih pemerintahan dan berakhirnya pertempuran.
Namun kumpulan itu kini mengorak langkah menggunakan kekerasan untuk menekan perbezaan pendapat, meleraikan tunjuk perasaan yang terutamanya dipimpin kaum wanita dan kemudian melarang semua bentuk tunjuk perasaan.
Taliban juga mengeluarkan amaran bahawa "sesiapa pun yang cuba memulakan pemberontakan akan dibalas dengan tindakan keras", amaran yang ditujukan kepada pasukan penentang di Panjshir, yang tewas awal bulan ini.
Mereka juga berkata akan membasmi cabang tempatan kumpulan ISIS, yang mengaku bertanggungjawab ke atas beberapa serangan bom sepanjang beberapa minggu yang lalu.
Mengenai dadah pula, jurucakap Taliban, Mujahid berjanji bahawa pemerintah baru tidak akan menjadikan Afghanistan, pengeluar candu terkemuka di dunia, menjadi sebuah negara narkotik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.