Skip to main content

Dunia

AGC Malaysia tarik balik rayuan terhadap pembebasan Rosmah daripada 17 tuduhan pengubahan wang haram

Anggaran Waktu Membaca:
AGC Malaysia tarik balik rayuan terhadap pembebasan Rosmah daripada 17 tuduhan pengubahan wang haram

Isteri kepada mantan perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor, tiba di Putrajaya pada 6 Januari 2025. (Gambar fail: CNA/Fadza Ishak)

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) Malaysia memutuskan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Rosmah Mansor daripada 17 tuduhan pengubahan wang haram, setelah berpuas hati bahawa tiada prospek kejayaan sekiranya rayuan diteruskan di Mahkamah Rayuan.

Dalam satu kenyataan, AGC memaklumkan jabatan itu sudah menerima rekod rayuan daripada Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2025 berhubung keputusan tersebut selepas meneliti sepenuhnya alasan penghakiman yang diperoleh.

Menurut AGC, antara faktor yang diambil kira adalah sekiranya rayuan diteruskan, pihak pendakwaan tidak akan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sebagaimana diperlukan dalam pembuktian sesuatu perbicaraan jenayah, memandangkan saksi-saksi penting yang diperlukan untuk membuktikan tuduhan terhadap Cik Rosmah sudah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan. 

“Dalam keadaan sedemikian, kesalahan predikat terhadap tertuduh juga tidak dapat dibuktikan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan berkenaan menegaskan bahawa semua aspek utama kes, termasuk isu fakta dan undang-undang telah diteliti sebelum keputusan untuk tidak meneruskan rayuan diambil, dengan Notis Penarikan Balik Rayuan difailkan pada 9 Disember lalu.

Pada Khamis, media melaporkan bahawa Notis Penarikan Balik Rayuan yang dikemukakan pendakwa raya di Mahkamah Rayuan pada 9 Disember, menyatakan mereka tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan itu.

Bagaimanapun, AGC memaklumkan keputusan untuk menarik balik rayuan terbabit tidak menjejas prosiding lain yang masih berjalan, termasuk kes rasuah berkaitan projek solar hibrid melibatkan tertuduh yang tetap diteruskan dan kini berada pada peringkat Mahkamah Rayuan.

“Tertuduh sebelum ini telah disabitkan dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September 2022 atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dengan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta (S$305.7 juta). 

“Pelaksanaan hukuman tersebut telah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan,” menurut kenyataan itu.

AGC turut menegaskan komitmen berterusan untuk menjalankan fungsi pendakwaan secara bebas, adil dan berintegriti, serta keputusan dibuat sentiasa berlandaskan undang-undang dan bukti yang tersedia, demi memastikan keadilan ditegakkan dan kepentingan awam sentiasa terpelihara.

Pada 19 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy (kini Hakim Mahkamah Rayuan) melepaskan dan membebaskan Cik Rosmah, 74 tahun, daripada tuduhan terbabit, selepas membenarkan permohonan untuk membatalkan kesemua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan itu tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan sebarang unsur kesalahan dalam tuduhan dikenakan.

Isteri mantan Perdana Menteri Najib Razak itu memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan itu pada September 2023 dan perbicaraan bermula pada 24 Ogos 2023, dengan dua saksi memberikan keterangan di mahkamah.

Pada 4 Oktober 2018, Cik Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 (S$2.2 juta) dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Aras Bawah, 148 Jalan Ampang, antara 4 Disember 2013 hingga 8 Jun 2017, dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim antara 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Tuduhan pengubahan wang haram dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil haram terbabit atau RM5 juta (S$1.6 juta), mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan.

Pertuduhan berkaitan pengelakan cukai pula dibuat di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, yang mewajibkan beliau mengemukakan borang taksiran pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN selewat-lewatnya pada 30 April untuk 2014, 2015, 2016, 2017, dan 2018, tanpa alasan munasabah, melanggar seksyen 112 akta tersebut.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita