Afrika Selatan tangguh guna vaksin AstraZeneca ekoran data varian COVID-19
Satu ujian klinikal berskala kecil menunjukkan vaksin AstraZeneca hanya beri perlindungan terbatas terhadap varian COVID-19 yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan.

(Gambar: AFP)
JOHANNESBURG: Afrika Selatan pada Ahad (7 Feb) menggantung rancangannya untuk menggunakan vaksin COVID-19 keluaran Oxford-AstraZeneca.
Ia berikutan hasil ujian klinikal secara kecil-kecilan yang menunjukkan vaksin tersebut hanya memberi perlindungan terbatas kepada varian virus COVID-19 yang pertama kali dikesan di negara itu.
Afrika Selatan menerima kiriman sejuta dos vaksin AstraZeneca yang dihasilkan di Institut Serum India pada Isnin lalu.
Mengikut jadualnya, vaksin itu sepatutnya mula disuntik kepada para pekerja jagaan kesihatan pada lewat bulan ini.
Menteri Kesihatan Afrika Selatan berkata program suntikan itu akan tetap diteruskan tetapi dengan menggunakan vaksin syarikat Johnson & Johnson dan Pfizer-BioNTech.
Bagi penggunaan vaksin AstraZeneca pula, pihak berkuasa akan menunggu nasihat dari para saintis.
Virus COVID-19 telah menjangkiti lebih 1.4 juta penduduk Afrika Selatan dan meragut lebih 46,000 nyawa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.