Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Afrika Selatan persoal langkah UK larang penerbangan susuli kebimbangan varian baru COVID-19

Afrika Selatan pada Jumaat (26 Nov) menyifatkan larangan Britain ke atas penerbangan dari enam negara di selatan Afrika ekoran varian baru COVID-19, sebagai kelihatan tergesa-gesa,sedangkan saintis belum kenal pasti kesan sebenar varian B.1.1.529.

Anggaran Waktu Membaca:
Afrika Selatan persoal langkah UK larang penerbangan susuli kebimbangan varian baru COVID-19

Pesawat South African Airways di landasan lapangan terbang antarabangsa di Johannesburg, Afrika Selatan pada 23 Sep 2021 (Gambar: Emmanuel Croset/AFP)

Diterbitkan : 26 Nov 2021 08:32PM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 08:42PM

JOHANNESBURG: Afrika Selatan pada Jumaat (26 Nov) menyifatkan larangan Britain ke atas penerbangan dari enam negara di selatan Afrika ekoran varian baru COVID-19, sebagai kelihatan tergesa-gesa, sedang pihak berkuasa EU bersiap sedia mengambil langkah serupa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengadakan satu mesyuarat tergempar.

Para saintis setakat ini hanya mengesan varian B.1.1.529 dalam jumlah yang agak kecil, khususnya di Afrika Selatan tetapi juga di Botswana dan Hong Kong. Namun mereka menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah mutasinya yang banyak yang mungkin boleh menjadikannya kebal kepada vaksin dan lebih mudah berjangkit.

Britain menyatakan varian itu adalah yang paling signifikan ditemui, selepas melarang penerbangan dari Afrika Selatan, Botswana, Lesotho, Eswatini, Zimbabwe dan Namibia mulai tengah hari Jumaat.

Ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berkata EU juga bercadang untuk melarang perjalanan udara dari rantau itu, menyifatkan varian itu sebagai "membimbangkan".

Satu kumpulan kerja WHO mengenai evolusi virus bersidang pada Jumaat untuk membincangkan sama ada akan memberikan label itu secara rasmi. Label "membimbangkan" hanya diberikan kepada empat varian setakat ini.

Pakar epidemiologi WHO Maria Van Kerkhove dalam video yang disiarkan di Twitter berkata tempoh masa beberapa minggu mungkin diperlukan untuk memahami kesan mutasi varian itu.

Nilai rand merosot lebih 2 peratus berbanding dolar pada awal Jumaat, sedang varian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur. Saham hospitaliti Afrika Selatan juga menjunam.

Afrika Selatan akan menghubungi pihak berkuasa British untuk cuba menggesa mereka mempertimbangkan semula larangan berkenaan, kata kementerian luar di Pretoria.

"Apa yang kami bimbangkan adalah kesan keputusan itu ke atas kedua-dua industri pelancongan dan perniagaan kedua-dua negara," kata Menteri Luar Naledi Pandor dalam satu kenyataan.

Ketika negara-negara Asia juga bertindak untuk mengetatkan sekatan, dua kelab ragbi Wales yang kini di Afrika Selatan bagi satu kejohanan berusaha untuk segera meninggalkan negara itu, manakala pemain golf Britain dan Ireland menarik diri daripada Terbuka Johannesburg.

Afrika Selatan yang paling teruk terjejas di Afrika dari segi bilangan keseluruhan kes dan kematian COVID-19 yang dilaporkan - mula menyaksikan keadaan kembali reda selepas gelombang ketiga jangkitan yang dahsyat. Namun jangkitan baru mula kembali meningkat minggu lalu.

Pada Khamis, Institut Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NICD) melaporkan 2,465 kes baru, hampir seganda jumlah jangkitan pada hari sebelumnya. Meskipun NICD tidak mengaitkan lonjakan semula kes dengan varian B.1.1.529, saintis tempatan mengesyaki varian itu adalah puncanya.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika sangat tidak menggalakkan larangan perjalanan ke atas negara yang telah melaporkan varian tersebut. "Mengenakan larangan ke atas pelancong dari negara di mana varian baru dilaporkan tidak membuahkan hasil yang bermakna," tegasnya.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan