Skip to main content

Dunia

Afrika Selatan anggap sidang puncak G20 satu kejayaan berbilang hala meski Amerika tidak hadir

Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa berkata pada Ahad (23 Nov) bahawa pengisytiharan daripada sidang puncak Kumpulan 20 (G20) hujung minggu ini mencerminkan “komitmen baharu terhadap kerjasama pelbagai hala”, menutup sebuah pertemuan yang menyaksikan beliau berdepan dengan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat.
Anggaran Waktu Membaca:
Afrika Selatan anggap sidang puncak G20 satu kejayaan berbilang hala meski Amerika tidak hadir
Para pemimpin dan delegasi bergambar secara bersama-sama pada hari pembukaan Sidang Puncak Pemimpin G20 di Johannesburg, Afrika Selatan, pada 22 November 2025. (Gambar: AP/Gianluigi Guercia)
JOHANNESBURG: Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa berkata pada Ahad (23 Nov) bahawa pengisytiharan daripada sidang puncak Kumpulan 20 (G20) hujung minggu ini mencerminkan “komitmen baharu terhadap kerjasama pelbagai hala”, menutup sebuah pertemuan yang menyaksikan beliau berdepan dengan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat.

Encik Ramaphosa, selaku tuan rumah sidang puncak Johannesburg, berjaya meluluskan pengisytiharan yang bertujuan menangani cabaran seperti krisis iklim meskipun Amerika Syarikat membantah dan memboikot acara tersebut.

Dalam ucapannya pada majlis penutup, Encik Ramaphosa berkata pengisytiharan itu menunjukkan bahawa “matlamat bersama kita mengatasi perbezaan”.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memboikot sidang puncak 22-23 November itu atas dakwaan, yang sudah dibuktikan palsu sepenuhnya, bahawa pemerintah Afrika Selatan yang kebanyakannya berkulit gelap menindas golongan minoriti kulit putihnya.

KETEGANGAN BERHUBUNG UKRAINE, KRISIS IKLIM

Encik Trump juga menolak agenda Afrika Selatan untuk membantu negara-negara membangun beralih ke tenaga bersih, mengurangkan kos hutang yang membebankan, dan menyesuaikan diri dengan bencana cuaca yang didorong perubahan iklim.

Namun Encik Ramaphosa berjaya mendapatkan kata sepakat daripada para pemimpin yang hadir, kecuali Argentina yang tidak menghalang pengisytiharan dikeluarkan tanpa penyertaannya. Ini merupakan sidang puncak G20 pertama di Afrika dan pengisytiharan bersama itu menggunakan frasa-frasa yang buat sekian lama tidak disenangi pentadbiran Amerika Syarikat.

Dokumen tersebut menekankan betapa seriusnya perubahan iklim dan perlunya penyesuaian, memuji sasaran tenaga boleh diperbaharui yang lebih berani serta mengecam caj perkhidmatan hutang yang tinggi yang ditanggung negara-negara miskin.

Sidang puncak itu diadakan di tengah-tengah ketegangan perang Rusia-Ukraine yang semakin menggugat gabungan trans-Atlantik, dan menyusuli rundingan iklim COP30 di Brazil yang tidak membuahkan hasil, dengan negara-negara pengeluar dan pengguna minyak utama menghalang penyertaan rujukan bahan api fosil sebagai punca krisis dalam pengisytiharan akhir.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva berkata pada Ahad bahawa kedua-dua sidang G20 dan COP30 menunjukkan bahawa pendekatan pelbagai hala masih berkekalan.

Canselor Jerman Friedrich Merz berkata Amerika Syarikat hanya disebut secara ringkas dalam sidang puncak G20 dan memainkan peranan kecil, sementara hubungan baharu dibentuk dan dunia menyusun semula dirinya.

“Ia bukan keputusan yang baik bagi pemerintah Amerika untuk tidak hadir. Tetapi itu sesuatu yang harus diputuskan oleh pemerintah Amerika sendiri,” kata beliau.

PERTIKAIAN AFRIKA SELATAN DENGAN RUMAH PUTIH

Amerika Syarikat akan mengambil alih jawatan presiden bergilir G20 selepas Johannesburg, namun Afrika Selatan menolak cadangan Amerika Syarikat untuk menghantar seorang pegawai kedutaan bagi upacara penyerahan tersebut menggantikan Encik Trump kerana ia dianggap melanggar protokol.

Rumah Putih menuduh Encik Ramaphosa enggan memudahkan peralihan kepimpinan G20 dengan lancar.

“Kami belum menerima sebarang komunikasi rasmi setakat ini,” kata Menteri Luar Afrika Selatan Ronald Lamola kepada media pada Ahad. “Namun kami tetap terbuka … Terserah kepada mereka.”

Beliau menganggapnya satu kejayaan besar apabila pengisytiharan tersebut mengiktiraf keperluan pembiayaan iklim bagi negara-negara membangun.

Selain persetujuan mengejut mengenai pengisytiharan tersebut, para pemimpin dunia turut menggunakan G20 untuk membincangkan perang Rusia-Ukraine dan rancangan Encik Trump untuk menamatkannya, di luar sesi rasmi, pertemuan pertama daripada beberapa sesi yang dijangka berlangsung dalam hari-hari mendatang.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita