Afghanistan tolak seruan dunia tubuh pemerintah inklusif
Pihak berkuasa Taliban di Afghanistan pada Ahad (26 Mei) sekali lagi menolak gesaan antarabangsa untuk membentuk sebuah pemerintah yang inklusif, dengan alasan bahawa negara itu hanya akan menurut kehendak rakyatnya.
Seorang pegawai keselamatan Taliban berdiri di pekarangan Masjid Abdul Rahman di Kabul pada 21 April 2023. (Gambar: AFP/Ahmad Sahel Arman)
“Rakyat Afghanistan akan menangani isu-isu dalaman kerana ia merupakan keperluan nasional. Tuntutan dan pandangan daripada rakyat akan dipertimbangkan,” kata jurucakap pihak berkuasa Afghanistan, Zabihullah Mujahid, seperti dilaporkan oleh Tolo News.
Kenyataan itu dibuat Encik Mujahid sebagai maklum balas kepada gesaan pemimpin Turki, Azerbaijan, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan pada 21 Mei, sebagai sebahagian daripada Pertubuhan Negara-Negara Turkik (OTS), yang menyeru agar Afghanistan membentuk pemerintah yang inklusif dan mencerminkan kepelbagaian etnik negara tersebut.
Dalam kenyataan bersama, negara anggota OTS turut menggesa pihak berkuasa Afghanistan supaya memperkukuh kerjasama dengan OTS dalam usaha memerangi keganasan.
Menurut Encik Mujahid, Afghanistan komited untuk menjalin hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara-negara rumpun Turkik, dan menegaskan bahawa negaranya tidak akan menjadi ancaman kepada mana-mana negara lain.
Beliau turut menggesa negara anggota OTS supaya “mengiktiraf tanggungjawab mereka terhadap Afghanistan” dalam bentuk sokongan ekonomi, namun tanpa campur tangan dalam sistem pemerintahan sedia ada.
Di tengah-tengah gesaan pembaharuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara jiran dan negara Barat, pihak berkuasa Afghanistan kekal mempertahankan sistem pemerintahannya.
Pentadbiran Afghanistan ketika ini terdiri sepenuhnya daripada golongan lelaki, kebanyakannya daripada etnik Pashtun, yang direkrut daripada kalangan anggota Taliban yang merampas kuasa pada 2021.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.