Skip to main content

Dunia

Afghanistan serang pesawat Pakistan di Kabul sedang konflik memuncak

Anggaran Waktu Membaca:
Afghanistan serang pesawat Pakistan di Kabul sedang konflik memuncak
Orang ramai membersihkan serpihan kaca dari kedai mereka, menyusuli serangan udara Pakistan, di kawasan Darul Aman, Kabul, Afghanistan pada 27 Februari 2026. (Gambar fail: Reuters/Sayed Hassib)
KABUL: Afghanistan menyatakan ia melancarkan serangan ke atas pesawat Pakistan di Kabul selepas tembakan dan letupan menggegar ibu kota itu pada Ahad (1 Mac).

Ini sekali gus menambah kepada ketidakstabilan di rantau tersebut menyusuli serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran serta serangan balas ke atas sasaran Amerika di negara-negara Teluk.

Negara yang diperintah Taliban itu berdepan serangan oleh Pakistan ke atas kemudahan pemerintah sepanjang minggu lalu berikutan tuduhan, yang dinafikan, bahawa ia menempatkan anggota militan.

Pertempuran paling sengit dalam beberapa tahun antara negara jiran ini menimbulkan kebimbangan mengenai konflik berlarutan sepanjang sempadan 2,600 kilometer (km), dengan beberapa negara, termasuk Qatar dan Arab Saudi, menyeru supaya bertenang dan menawarkan bantuan untuk mengantarakan gencatan senjata.

Letupan berlaku di beberapa bahagian Kabul sebelum matahari terbit, diikuti oleh tembakan bertubi-tubi, menurut saksi Reuters.

Masih belum jelas apa yang menjadi sasaran atau sama ada terdapat korban.

Jurucakap pentadbiran Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata bunyi itu adalah hasil tindakan tentera Afghanistan yang menyasarkan pesawat Pakistan di ibu kota.

“Serangan pertahanan udara telah dijalankan di Kabul terhadap pesawat Pakistan. Penduduk Kabul tidak perlu bimbang,” kata Encik Mujahid.

Pejabat Perdana Menteri Pakistan, kementerian penerangan dan pihak tentera tidak memberi sebarang komen semasa dihubungi.

Keganasan ini berlaku menyusuli serangan udara di Afghanistan minggu ini, yang menurut Pakistan, memberi tumpuan kepada prasarana militan.

Afghanistan menggambarkan serangan itu sebagai pelanggaran kedaulatan dan mengumumkan operasi balas di sepanjang sempadan bersama itu.

Iran, yang berkongsi sempadan dengan Afghanistan dan Pakistan, menawarkan bantuan untuk memudahkan dialog sebelum ia sendiri diserang pada Sabtu oleh Israel dan Amerika Syarikat, yang berhasrat mengurangkan kemampuan ketenteraan Iran.

Pakistan mendakwa Afghanistan menempatkan anggota militan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), yang menurutnya, melancarkan pemberontakan di Pakistan.

Afghanistan menafikan tuduhan itu, sambil menyatakan ia tidak membenarkan wilayahnya digunakan terhadap negara lain, dan bahawa cabaran keselamatan Pakistan adalah isu dalamannya.

Sumber keselamatan Pakistan berkata operasi Ghazab Lil Haq sedang dijalankan dan pasukan Pakistan sudah memusnahkan kem Afghanistan.

Kedua-dua pihak melaporkan kerugian besar, dengan angka korban berbeza-beza antara satu sama lain. Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebas.

Usaha diplomatik semakin giat, dengan Arab Saudi, Rusia, China, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru supaya bertenang dan menggesa agar perbincangan diadakan.

Amerika Syarikat menyatakan ia menyokong hak Pakistan untuk mempertahankan diri.

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, menggambarkan pertempuran itu sebagai “perang terbuka”.
 
Sumber : Reuters/IM/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita