Skip to main content

Dunia

Afghanistan lancar serangan balas terhadap Pakistan: Taliban

Pentadbiran Taliban di Afghanistan mendakwa ia melancarkan operasi ketenteraan berskala besar terhadap beberapa kedudukan tentera Pakistan di sepanjang sempadan kedua-dua negara pada lewat Khamis (26 Feb), sebagai tindak balas terhadap serangan udara Islamabad awal minggu ini, lapor Astro Awani.
Anggaran Waktu Membaca:
Afghanistan lancar serangan balas terhadap Pakistan: Taliban
Penduduk berkumpul berhampiran sebuah rumah yang rosak, menyusuli serangan udara Pakistan, di daerah Bihsud, wilayah Nangarhar, Afghanistan, pada 22 Februari 2026. (Gambar: REUTERS)
Diterbitkan : 27 Feb 2026 08:07AM
KABUL/ISLAMABAD: Pentadbiran Taliban di Afghanistan mendakwa ia melancarkan operasi ketenteraan berskala besar terhadap beberapa kedudukan tentera Pakistan di sepanjang sempadan kedua-dua negara pada lewat Khamis (26 Feb), sebagai tindak balas terhadap serangan udara Islamabad awal minggu ini, lapor Astro Awani.

Jurucakap utama Taliban, Zabihullah Mujahid mendakwa, operasi itu mengakibatkan “ramai anggota tentera Pakistan terbunuh”, selain mendakwa beberapa pos kawalan berjaya ditawan.

Bagaimanapun, pemerintah Pakistan menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan, Afghanistan sebenarnya mengalami “kerugian besar” dalam insiden itu.

Sehubungan itu, jurucakap Perdana Menteri Pakistan, Mosharraf Zaidi menolak kenyataan Taliban bahawa anggota tenteranya terbunuh atau ditawan, sambil menegaskan semua tindakan agresif dari seberang sempadan menerima “tindak balas segera dan berkesan,” menurut Astro Awani.

Kementerian Penerangan Pakistan pula dalam kenyataan di platform X menyifatkan serangan Taliban sebagai “tidak berasas dan tidak diprovokasi” serta mendakwa beberapa pos kawalan serta peralatan ketenteraan Afghanistan musnah dalam serangan balas Islamabad.

“Pakistan akan mengambil semua langkah perlu bagi mempertahankan kedaulatan serta keselamatan rakyatnya,” jelas kenyataan itu, seperti dinukil Astro Awani.

Ketegangan tercetus selepas Taliban mendakwa, serangan udara Pakistan pada Ahad mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Islamabad pula berkata, operasi itu menyasarkan tujuh kem dan lokasi persembunyian kumpulan bersenjata, yang menurutnya bertanggungjawab terhadap beberapa serangan nekad di Pakistan sejak kebelakangan ini.

Taliban kemudian memberi amaran akan membalas “pada masa yang sesuai”, sebelum mengumumkan operasi baharu itu bermula pada pukul 8.00 malam waktu tempatan pada Khamis.

Afghanistan dan Pakistan berkongsi sempadan sepanjang 2,574 kilometer, yang sering menjadi lokasi pertempuran antara pasukan keselamatan kedua-dua negara dan kumpulan bersenjata rentas sempadan.

Pada Oktober lalu, kedua-dua negara mencapai gencatan senjata rapuh menyusuli beberapa pertempuran, namun insiden berbalas serangan terus berlaku dari semasa ke semasa.

Situasi terkini membayangkan hubungan Kabul-Islamabad kembali berada pada tahap tegang, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari berhubung punca serangan.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita