Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Afghanistan di ambang keruntuhan, 'kanak-kanak akan mati', amaran agensi PBB

Berjuta-juta rakyat Afghanistan, termasuk kanak-kanak, mungkin mati kelaparan kecuali tindakan segera diambil untuk membantu Afghanistan keluar dari ambang kehancuran.

Anggaran Waktu Membaca:
Afghanistan di ambang keruntuhan, 'kanak-kanak akan mati', amaran agensi PBB

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 25 Oct 2021 06:18PM Dikemas Kini : 25 Oct 2021 06:20PM

DUBAI: Berjuta-juta rakyat Afghanistan, termasuk kanak-kanak, mungkin mati kelaparan kecuali tindakan segera diambil untuk membantu Afghanistan keluar dari ambang kehancuran.

Amaran itu dikeluarkan seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang menyeru agar dana yang dibekukan dilepaskan bagi membiayai usaha kemanusiaan.

Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia (WFP) David Beasley memberitahu Reuters bahawa 22.8 juta orang - lebih separuh daripada 39 juta penduduk Afghanistan - sedang berdepan dengan krisis makanan akut dan 'di ambang kebuluran' berbanding dengan 14 juta hanya dua bulan yang lalu.

"Kanak-kanak akan mati. Orang akan kebuluran. Keadaan akan menjadi bertambah buruk," katanya di Dubai.

"Saya tidak tahu bagaimana anda mempunyai berjuta-juta orang, dan terutama kanak-kanak, mati pada kadar sekarang, dengan kekurangan dana dan ekonomi yang runtuh."

Afghanistan teruk dilanda krisis pada bulan Ogos selepas kumpulan Taliban mengusir pemerintah yang disokong Barat, mendorong negara penderma menahan bantuan bernilai jutaan dolar bagi ekonomi yang bergantung kepada bantuan.

Krisis makanan, sekarang diburukkan lagi oleh perubahan iklim, dengan pentadbiran baru Taliban disekat daripada mengakses aset yang dipegang di luar negara ketika negara-negara bergelut dengan cara menangani kumpulan tersebut.

"Apa yang kami ramalkan menjadi kenyataan lebih cepat daripada yang kami jangkakan. Kabul jatuh lebih cepat daripada jangkaan dan ekonomi jatuh lebih cepat daripada itu," kata Encik Beasley.

Menurutnya dana yang diperuntukkan untuk bantuan pembangunan harus digunakan bagi bantuan kemanusiaan, seperti yang telah dilakukan oleh beberapa negara lain, atau dana yang dibekukan disalurkan melalui agensi tersebut.

"Anda harus melepaskan dana ini agar penduduk dapat dibantu."

Agensi makanan PBB memerlukan sehingga AS$220 juta (S$296 juta)sebulan untuk memberi makan kepada sebahagian daripada hampir 23 juta orang yang memerlukan ketika musim sejuk hampir tiba.

Ramai penduduk Afghanistan terpaksa menjual harta benda mereka untuk membeli makanan dengan pihak Taliban tidak dapat membayar gaji kepada penjawat awam.

Buat pertama kalinya juga penduduk bandar menghadapi masalah bekalan makanan pada tahap yang serupa dengan kawasan luar bandar.

Menurut Encik Beasley, WFP menggunakan sumbernya sendiri untuk membantu menampung bantuan makanan sehingga Disember selepas beberapa penderma gagal memenuhi janji.

Tambahnya, dengan peruntukan pemerintah sudah kehabisan, dana mungkin perlu dialihkan daripada usaha bantuan di negara lain.

"Saya rasa pemimpin di dunia tidak menyedari apa yang akan berlaku," katanya, sambil menyenaraikan beberapa krisis kemanusiaan di Timur Tengah, Afrika dan Amerika Tengah.

Sumber : Reuters/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan