Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Afghanistan berdepan kejutan ekonomi yang 'belum pernah berlaku': PBB

GDP Afghanistan boleh menguncup 20 peratus dalam tempoh setahun, menurut ramalan PBB dalam laporan baru pada Rabu (1 Dis), sambil menekankan bahawa penarikan balik bantuan antarabangsa selepas Taliban kembali berkuasa adalah "kejutan fiskal yang tidak pernah berlaku sebelum ini".

Anggaran Waktu Membaca:
Afghanistan berdepan kejutan ekonomi yang 'belum pernah berlaku': PBB

(Gambar fail: AFP/Hector Retamal)

Diterbitkan : 02 Dec 2021 10:27AM Dikemas Kini : 02 Dec 2021 10:29AM

KABUL: GDP Afghanistan boleh menguncup 20 peratus dalam tempoh setahun, menurut ramalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)dalam laporan baru pada Rabu (1 Dis).

PBB menyatakan bahawa penarikan balik bantuan antarabangsa selepas Taliban kembali berkuasa adalah "kejutan fiskal yang tidak pernah berlaku sebelum ini".

Selama beberapa dekad ekonomi Afghanistan goyah dek peperangan dan kemarau.

Namun ia disokong oleh bantuan antarabangsa bernilai berbilion-bilion dolar - yang kebanyakannya dibekukan apabila tentera antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat berundur dan Taliban kembali berkuasa pada Ogos.

“Penarikan bantuan antarabangsa secara mendadak merupakan kejutan fiskal yang belum pernah berlaku sebelum ini,” Pengarah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Asia, Kanni Wignaraja, memberitahu AFP pada Rabu, ketika agensi itu mengeluarkan Tinjauan Sosio-Ekonomi Afghanistan 2021-2022.

Laporan itu meramalkan penguncupan ekonomi sekitar 20 peratus daripada GDP "dalam masa setahun, iaitu kemerosotan yang boleh mencapai 30 peratus pada tahun-tahun berikutnya".

"Ia mengambil masa lebih lima tahun peperangan untuk ekonomi Syria mengalami penguncupan yang setanding. Ini berlaku dalam tempoh lima bulan sahaja di Afghanistan," kata Cik Wignaraja.

Satu lagi sumber PBB berkata bahawa "dari segi keperluan penduduk dan kelemahan institusi, ia adalah situasi yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Malah...Yaman, Syria, Venezuela tidak sampai ke tahap itu".

Sebelum ini, bantuan antarabangsa membentuk 40 peratus GDP Afghanistan dan membiayai 80 peratus daripada belanjawannya.

Namun sekalipun bantuan dikembalikan semula sekarang, meskipun penting, ia akan menjadi langkah yang sekadar "meringankan" namun tidak menghuraikan isu, kata Cik Wignaraja, sambil menambah bahawa apa yang diperlukan oleh warga Afghanistan ialah "pekerjaan, pembelajaran, berupaya meraih pendapatan dan dapat hidup dengan bermaruah dan selamat".

TIADA PEKERJAAN BAGI WANITA

Laporan itu juga memberi amaran bahawa menghalang wanita di Afghanistan daripada melakukan pekerjaan bergaji boleh menyebabkan kemerosotan GDP sehingga lima peratus, membentuk kerugian antara AS$600 juta (S$818.4 juta) dengan AS$1 bilion (S$1.36 juta).

Taliban membenarkan hanya sebahagian penjawat awam terdiri dalam kalangan wanita - iaitu dalam bidang pendidikan dan kesihatan - untuk kembali bekerja, dan hanya memberi bayangan yang samar-samar tentang undang-undang yang akan ditetapkan pada masa hadapan.

Sebelum ini mereka melarang sama sekali kaum wanita daripada bekerja.

"Wanita membentuk 20 peratus pekerjaan rasmi dan pekerjaan mereka penting untuk mengurangkan bencana ekonomi di Afghanistan," kata Cik Wignaraja kepada AFP.

Tahap kerosakan "akan bergantung kepada tahap penguatkuasaan atau kelengahan", menurut laporan itu.

Di samping itu, terdapat kerugian dari aspek penggunaan kerana wanita yang tidak lagi bekerja tidak mempunyai gaji dan tidak boleh membeli seperti sebelum ini untuk memberi makan atau melengkapkan rumah mereka. Kerugian itu boleh mencecah AS$500 juta (S$682.02 juta) setahun, menurut UNDP.

Afghanistan "tidak mampu untuk mengalami kehilangan ini", tegas Cik Wignaraja.

Wanita muda Afghanistan juga mesti diberi peluang meneruskan pendidikan pasca peringkat menengah, tambah beliau.

Ini bermakna apa-apa pendidikan yang "akan membantu mereka...untuk menyumbang dengan cara yang mereka mampu dan ingini seperti sebagai doktor, jururawat, guru, jurutera, penjawat awam atau untuk menjalankan perniagaan mereka dan membangunkan semula negara".

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan