Skip to main content

Dunia

ADUN Kuala Perlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis

Anggaran Waktu Membaca:
ADUN Kuala Perlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis
Menter Besar baharu Perlis angkat sumpah jawatan pada Ahad, 28 Disember 2025. (Gambar: Bernama)
Diterbitkan : 28 Dec 2025 05:01PM Dikemas Kini : 28 Dec 2025 05:07PM

PERLIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.

Abu Bakar, 57 tahun, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis ke-12 di hadapan Raja Perlis Syed Sirajuddin Jamalullail, pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis pada pukul 4.04 petang Ahad (28 Dis).

Beliau ialah Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis dan juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perlis.

Abu Bakar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 1,254 undi.

Sebelum ini beliau dilantik sebagai Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri Perlis, selepas rombakan pada November tahun lepas dan memegang portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya serta Pembangunan Luar Bandar.

Dalam rombakan itu, Abu Bakar antara tiga ADUN yang dilantik sebagai Exco baharu, menggantikan dua Exco sedia ada yang digugurkan.

Pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Perlis ke-12 dibuat berikutan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli yang juga ADUN Sanglang pada 25 Disember secara sukarela atas faktor kesihatan.

Pada 25 Disember juga, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Rus'sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selaras dengan Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Kekosongan luar jangka itu berlaku selepas PAS pada 24 Disember mengumumkan keahlian tiga ADUN parti tersebut iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti, susulan tindakan menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.

Pada PRU15, PN Perlis memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN, dengan sembilan kerusi dimenangi ADUN PAS dan lima oleh Bersatu, manakala Pakatan Harapan (PH) menerusi PKR memenangi satu kerusi.

Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita