Aduan pelancong di Korea Selatan cecah rekod tertinggi, atasi jumlah sepanjang 2025
Aduan pelancong di Korea Selatan mencecah rekod tertinggi tahun ini sedang sektor pelancongan negara itu terus berkembang pesat.
Korea Selatan menyaksikan jumlah aduan pelancong mencatat paras tertinggi tahun ini di tengah-tengah peningkatan jumlah pelancong asing ke negara itu. (Gambar: REUTERS)
- Aduan pelancong di Korea Selatan meningkat ke tahap tertinggi antara Januari hingga Julai, melebihi jumlah sepanjang tahun lalu.
- Masalah utama melibatkan penginapan, layanan tidak mesra, caj berlebihan, serta isu pengangkutan seperti teksi dan syarikat penerbangan.
- Pelancong asing, terutamanya dari China, Jepun dan Taiwan, menyumbang lebih 80 peratus aduan, dengan kebanyakan kes berlaku di Seoul dan Busan.
- Pakar menggesa pemerintah dan sektor swasta memperbaiki mutu perkhidmatan bagi mengekalkan pertumbuhan pelancongan dan mengelak kesan negatif daripada pengalaman buruk pelancong.
1,753 aduan difailkan di seluruh negara itu antara Januari hingga Julai tahun ini, melepasi 1,744 kes yang dicatatkan sepanjang 2025.
Agensi Berita Yonhap melaporkan demikian pada Ahad (6 Sep), memetik data yang dikumpulkan Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO).
Jumlah aduan daripada pelancong asing menurun semasa pandemik COVID-19, namun meningkat secara berterusan sejak 2023.
Seoul mencatatkan jumlah aduan tertinggi dengan 665 kes, diikuti Busan dengan 594 kes, Incheon 176 kes dan Jeju dengan 155 kes.
Busan, yang menerima sekitar 110,000 pengunjung sempena konsert jelajah dunia BTS pada Jun, menyaksikan jumlah aduan meningkat lebih dua kali ganda berbanding 239 kes sepanjang tahun lalu.
PENGINAPAN CATAT ADUAN TERTINGGI
Masalah berkaitan penginapan merupakan aduan paling banyak diterima, dengan 500 kes.
Ia termasuk pembatalan tempahan secara sepihak dan caj pembatalan yang terlalu tinggi.
Layanan tidak mesra dan caj berlebihan di premis perniagaan berada di tempat kedua dengan 376 aduan.
Sebanyak 186 aduan pula melibatkan perkhidmatan lapangan terbang dan syarikat penerbangan yang kurang memuaskan.
Selain itu, 182 aduan membabitkan pemandu teksi yang enggan menggunakan meter atau memandu secara berbahaya.
Pelancong asing menyumbang 84.3 peratus daripada keseluruhan aduan.
Warga China mencatat jumlah tertinggi dengan 680 aduan, diikuti warga Jepun dengan 263 dan Taiwan sebanyak 182.
LEBIH 10 JUTA PELANCONG ASING
Para pakar menggesa pemerintah dan sektor swasta Korea Selatan agar meningkatkan usaha untuk menambah baik tahap kepuasan pelancong bagi mengekalkan momentum pertumbuhan sektor pelancongan.
Ini selepas jumlah pelancong asing ke Korea Selatan melepasi 10 juta sebelum berakhirnya separuh pertama tahun ini buat julung-julung kalinya.
“Apabila jumlah pelancong meningkat dan industri pelancongan berkembang, aduan serta petunjuk negatif lain turut meningkat,” kata Profesor Pelancongan Universiti Kyung Hee Yoon Ji-hwan.
Profesor Yoon turut memberi amaran bahawa pengalaman negatif yang dikongsi menerusi media sosial boleh tersebar dengan pantas dan menjejas industri pelancongan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.