Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Adik-beradik diserang gajah liar ketika mencari petai di kawasan hutan

Anggaran Waktu Membaca:
Adik-beradik diserang gajah liar ketika mencari petai di kawasan hutan

(Gambar: Astro Awani)

Diterbitkan : 10 Jan 2023 09:06PM Dikemas Kini : 10 Jan 2023 09:06PM
LIPIS: Seorang remaja maut diserang gajah liar di kawasan hutan di Kampung Tual, Pos Sinderut, Lipis, pada tengah hari Isnin (9 Jan).

"Ketika kami bertiga sedang merayau-rayau di dalam hutan mencari petai, tiba-tiba seekor gajah muncul di hadapan dan menyerang kami," kata Borhan Yok Manin, 24 tahun, abang kepada Andy Yok Manin, 15 tahun.

Borhan menambah, sebelum kejadian itu, dia bersama Andy dan seorang lagi rakan dikenali sebagai Apin keluar dari rumah sekitar pukul 8.00 pagi untuk mencari petai di dalam hutan.

"Selepas lima jam berjalan, kami dikejutkan dengan bunyi bising dari arah semak sebelum seekor gajah liar muncul secara tiba-tiba."

"Kami semua bertempiaran lari mencari tempat bersembunyi," lapor Astro Awani.

"Ketika itu saya sempat melihat Andy terjatuh dan gajah tersebut terus menyerang adik saya," katanya ketika ditemui di Rumah Rehat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), di Lipis pada Selasa (10 Jan).

Borhan berkata, dia lari ke arah sebuah bukit, manakala rakannya memanjat pokok untuk menyelamatkan diri.

"Kawan saya (Apin) lihat sendiri gajah tersebut menendang adik saya seperti bola. Haiwan itu kemudiannya menutup tubuh Andy dengan daun-daun kering."

"Hampir sejam gajah liar itu duduk dekat mayat Andy sebelum ia berlalu pergi secara perlahan-lahan," ujarnya.

Tambahnya lagi, selepas gajah tersebut berlalu, dia bersama Apin membawa mayat adiknya pulang ke rumah, menurut Astro Awani.

Sementara itu, ibu mangsa, Normah Yok Isa, 48 tahun, berkata, ketika kejadian dia bersama suami ke kebun untuk mencari durian sebelum dikejutkan dengan berita yang menimpa anak kelimanya.

"Sebaik diberitahu oleh orang kampung, saya bersama suami bergegas pulang ke rumah dan terkejut melihat tubuh Andy yang berlumuran darah."

"Biar pun sedih dan tidak menyangka kejadian malang seperti ini berlaku, tapi saya dan keluarga reda," katanya.

Dalam kejadian tengah hari semalam, seorang remaja Orang Asli maut diserang seekor gajah liar di Kampung Tual, Pos Sinderut.

Ketua Polis Daerah Lipis , Superitendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 4.30 petang mengenai kematian seorang remaja di kampung tersebut kerana diserang gajah liar.
Sumber : Agensi berita/AE/ae

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa