Adik-beradik bunuh ibu, sembunyikan mayat dalam tembok konkrit
Sepasang adik-beradik diberkas kerana dipercayai membunuh ibu mereka yang sudah uzur. Bahkan, mereka menyembunyikan mayatnya di sebalik tembok rumah supaya dapat terus menuntut wang pencen mangsa.
(Gambar hiasan: Paweł Czerwiński/Unsplash)
SEPANYOL: Sepasang adik-beradik diberkas kerana dipercayai membunuh ibu mereka yang sudah uzur. Bahkan, mereka menyembunyikan mayatnya di sebalik tembok rumah supaya dapat terus menuntut wang pencen mangsa.
Pedro, 55 tahun, dan Isabel Blasco Yunta, 60, diberkas selepas perbuatan kejam mereka terbongkar di sebuah kampung kecil di Pozondon, utara Sepanyol.
Polis mengesahkan, mayat seorang wanita dalam lingkungan 80-an tahun, disembunyikan dalam almari yang kemudian diletakkan dalam tembok konkrit sekitar dua tahun lalu.
Bedah siasat dijalankan terhadap mangsa yang dikenal pasti sebagai Angela Yunta Arroyo, bagi menyiasat punca kematian.
Para penyiasat mengesyaki mangsa sudah meninggal dunia antara empat bulan hingga dua tahun yang lalu.
Adik beradik itu juga disiasat atas tuduhan menipu kerana tidak mengisytiharkan bahawa ibu mereka sudah mati dan sebaliknya terus mendapatkan wang pencen mangsa.
Media tempatan melaporkan, terdapat spekulasi bahawa tertuduh berdepan dengan cabaran menjaga mangsa yang terlantar sakit di katil. Mangsa juga dikatakan mengalami demensia dan hilang daya penglihatan.
Polis menemui mayat mangsa selepas majlis tempatan dimaklumkan bahawa beliau tidak dilihat buat masa agak lama, lapor Mirror UK.
Kampung yang didiami keluarga mangsa hanya mempunyai 45 penduduk.
Mangsa dan dua anaknya berpindah ke kampung tersebut sekitar sedekad lalu. Kampung itu dilaporkan sebagai kampung halaman suaminya yang meninggal dunia.
Datuk bandar tempatan Mario Caceres memberitahu Mirror UK, "jiran-jiran bertanya khabar ibu mereka, dan mereka gagal memberikan jawapan yang meyakinkan".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.