Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Adakan PRU15 waktu tenang bukan sewaktu bencana, kata Dr Mahathir

Anggaran Waktu Membaca:
Adakan PRU15 waktu tenang bukan sewaktu bencana, kata Dr Mahathir

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad selepas Sesi Dialog secara tertutup bersama NGO Gabungan Ikhlas di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 23 September 2022. (Gambar: BERNAMA)

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan selepas musim banjir bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini terhadap pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog dan suai kenal bersama badan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat (23 Sep), Dr Mahathir berkata selain mengambil kira faktor keselamatan, bencana banjir juga menyukarkan pergerakan pengundi.

“Masa yang sesuai ialah waktu tenang bukan sewaktu bencana, tidak berlaku banjir atau angin kencang. Kalau musim banjir bukan sahaja menyulitkan pergerakan malah mungkin mendatangkan musibah seperti kecederaan atau kematian.

“Sebab itu waktu banjir tidak sesuai untuk adakan pilihan raya,” katanya ketika ditanya tarikh yang sesuai untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Beliau berkata setiap parti yang bertanding juga dapat membuat persediaan secukupnya sekiranya PRU15 diadakan selepas musim banjir.

Dalam pada itu, beliau berkata Gerakan Tanah Air (GTA) masih belum menetapkan calon yang akan mewakili gerakan itu pada PRU15.

Ditanya tentang perkembangan pendaftaran GTA, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan memberikan maklum balas dalam tempoh sebulan dari tarikh penyerahan permohonan logo serta pendaftaran gerakan itu.

Pada 6 September lalu, jawatankuasa penaja GTA telah bertemu Ketua Pengarah RoS Mohd Nawardi Saad bagi menyerahkan dokumen berkaitan serta berbincang berhubung pendaftaran itu. 

GTA yang ditubuhkan pada 4 Ogos lalu, disertai empat parti iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan