Ada bukti berlian merah jambu dibeli guna wang 1MDB
Walaupun berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (S$31 juta) yang dikaitkan dengan Cik Rosmah Mansor gagal ditemui sewaktu serbuan polis, namun terdapat bukti menunjukkan wujud transaksi pembeliannya menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Papan tanda 1MDB di Kuala Lumpur. (Gambar fail: Olivia Harris/Reuters)
KUALA LUMPUR: Walaupun berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (S$31 juta) yang dikaitkan dengan Cik Rosmah Mansor gagal ditemui sewaktu serbuan polis, namun terdapat bukti menunjukkan wujud transaksi pembeliannya menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam satu kenyataan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Ketua Polis Negara(KPN) Bukit Aman SAC Khalil Azlan Chik berkata, jejak kewangan (money trail) menunjukkan transaksi pembelian itu juga melibatkan seorang peniaga barang kemas di New York.
Kenyataan akhbar itu merujuk kepada penafian Cik Rosmah, isteri kepada mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak berhubung pembelian itu.
Baru-baru ini tular di media sosial tentang pembelian rantai leher dengan berlian merah jambu 22-carat oleh Cik Rosmah sehingga menimbulkan pelbagai dakwaan oleh netizen.
Awal minggu ini, media melaporkan Encik Najib Razak sebagai mengkritik pihak-pihak yang mendakwa bahawa isterinya membeli barang kemas tersebut setelah Putrajaya mengesahkan tiada pembelian dibuat.
“Semalam kita dengar pasal VVIP, batu cincin merah jambu selama ini difitnahkan tidak dibeli oleh sesiapa. Terbukti, tetapi semasa pilihan raya ini tubuh badan dan isteri jadi mangsa,” kata Encik Najib pada malam Selasa (9 Apr) seperti ditukil Astro Awani.
Astro Awani turut melaporkan Encik Najib sebagai berkata, pihaknya sudah memaklumkan ada resit masuk dan keluar Kastam yang membuktikan Cik Rosmah tidak membuat pembelian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.