Skip to main content

Dunia

Aceh dilanda wabak penyakit susulan banjir besar

Wilayah Aceh di utara Indonesia kini berdepan krisis kesihatan yang semakin meruncing selepas dilanda banjir besar dan tanah runtuh yang mengorbankan ratusan nyawa serta memusnahkan infrastruktur penting.
Anggaran Waktu Membaca:
Aceh dilanda wabak penyakit susulan banjir besar
Kekurangan bekalan air bersih dan sanitasi di pusat-pusat pemindahan mempercepatkan penularan penyakit, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas di Aceh. (Gambar: AP) 
ACEH: Wilayah Aceh di utara Indonesia kini berdepan krisis kesihatan yang semakin meruncing selepas dilanda banjir besar dan tanah runtuh yang mengorbankan ratusan nyawa serta memusnahkan infrastruktur penting.

Menurut laporan Tinjauan Situasi oleh Indonesia Humanitarian Coordination Platform (IHCP), hujan lebat sejak akhir November menyebabkan banjir dan tanah runtuh di 37 daerah di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatra Barat.

Di Aceh sahaja, ribuan rumah musnah, manakala kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan dan pusat kesihatan turut rosak teruk.

“Segala-galanya musnah. Rumah kami hanyut, tiada makanan, tiada air bersih. Kami hanya mampu berteduh di pusat pemindahan,” kata seorang penduduk Aceh Tamiang yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir.

Kementerian Kesihatan Indonesia memberi amaran tentang peningkatan kes penyakit bawaan air seperti cirit-birit, demam denggi dan jangkitan kulit.

Kekurangan bekalan air bersih dan sanitasi yang teruk di pusat pemindahan mempercepatkan penularan penyakit, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.

Setakat 6 Disember, lebih 900 kematian direkodkan di seluruh Indonesia akibat bencana itu, dengan ratusan lagi masih hilang.

Di Aceh, pasukan penyelamat dan sukarelawan bertungkus-lumus menghulurkan bantuan, namun usaha mereka terjejas akibat jalan yang terputus dan cuaca yang tidak menentu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa dikerahkan untuk menyalurkan bantuan kecemasan, termasuk bekalan makanan, ubat-ubatan dan khemah.

Namun, skala kemusnahan yang meluas menjadikan operasi bantuan mencabar.

Pihak berkuasa tempatan menyeru sokongan segera daripada pemerintah pusat dan komuniti antarabangsa bagi mempercepatkan pemulihan dan mengelakkan krisis kesihatan yang lebih buruk.
Sumber : Agensi berita/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita