Abdul Azeez tidak disambung reman, dibebaskan petang ini - Peguam
Mantan Pengerusi Tabung Haji (TH) Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka dibebaskan petang ini selepas tempoh remannya tidak disambung.
Abdul Azeez dan dua mantan pegawai TH sebelum ini direman dua hari bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan pemberian hibah TH. (Gambar: BERNAMA)
- Abdul Azeez Abdul Rahim, mantan Pengerusi Tabung Haji, dijangka dibebaskan selepas permohonan polis untuk melanjutkan reman ditolak oleh mahkamah.
- Peguamnya, Amer Hamzah Arshad, menegaskan bahawa Abdul Azeez sentiasa bersedia memberi kerjasama kepada polis dalam siasatan kes penipuan hibah Tabung Haji.
- Abdul Azeez dan dua mantan pegawai Tabung Haji sebelum ini direman dua hari untuk membantu siasatan, namun siasatan boleh diteruskan tanpa penahanan reman.
- Pemakaian lokap dan gari oleh Abdul Azeez semasa prosiding adalah mengikut SOP polis, dan beliau telah hadir memberi keterangan lebih 10 kali sebelum ini.
Peguamnya, Amer Hamzah Arshad berkata permohonan polis untuk melanjutkan tempoh reman Encik Abdul Azeez selama tiga hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan ditolak.
Mantan Ahli Parlimen Baling itu dijangka dibebaskan sebelum pukul 5.00 petang ini selepas tempoh reman terdahulu tamat.
Menurut Encik Amer Hamzah, pihak pembelaan membantah permohonan lanjutan reman itu atas alasan Encik Abdul Azeez sentiasa bersedia memberikan kerjasama penuh kepada polis sekiranya diperlukan.
Beliau berkata siasatan masih boleh diteruskan tanpa Encik Abdul Azeez ditahan reman dan anak guamnya bersedia hadir ke Bukit Aman pada bila-bila masa untuk memberikan keterangan lanjut.
Encik Abdul Azeez bersama dua mantan pegawai TH sebelum ini direman selama dua hari bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan pemberian hibah TH.
PAKAIAN LOKAP, GARI IKUT SOP POLIS
Mengulas mengenai pakaian lokap dan gari yang dipakai Encik Abdul Azeez ketika dihadapkan bagi pertuduhan berkaitan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Encik Amer Hamzah berkata anak guamnya ketika itu masih berada dalam tahanan dan jagaan polis bagi prosiding reman.
Menurutnya, Encik Abdul Azeez hanya mengikut arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan polis dan tidak mempunyai pilihan mengenai pakaian yang perlu dipakai ketika berada dalam tahanan.
Encik Amer Hamzah menambah Encik Abdul Azeez sudah hadir memberikan keterangan lebih 10 kali sebelum ini dan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.