Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Abang tiri Raja Jordan dikenakan tahanan dalam rumah, dituduh cuba gugat keselamatan

Sehingga 20 orang ditahan di Jordan atas dakwaan cuba merampas kuasa Raja Abdullah II.

Anggaran Waktu Membaca:
Abang tiri Raja Jordan dikenakan tahanan dalam rumah, dituduh cuba gugat keselamatan

Putera Hamzah Bin Al-Hussein. (Gambar: AFP/Khalil Mazraawi)

Diterbitkan : 04 Apr 2021 03:27PM Dikemas Kini : 04 Apr 2021 04:13PM

AMMAN: Sehingga 20 orang ditahan di Jordan atas dakwaan cuba merampas kuasa Raja Abdullah II.

Salah seorang daripada mereka ialah Putera Hamzah Hussein, abang tiri Raja Abdullah, yang diarah pihak tentera supaya menghentikan sebarang tindakan yang mensasarkan ‘keselamatan dan kestabilan’ negara tersebut.

Dalam rakaman video yang dibocorkan kepada BBC, Putera Hamzah memaklumkan beliau diletakkan di bawah tahanan dalam rumah oleh pihak berkuasa Jordan.

Putera Hamzah berkata, ketua angkatan tentera mengunjunginya sebelum itu dan memberitahu: "Saya tidak dibenarkan keluar dari rumah, berkomunikasi atau bertemu dengan orang."

Bercakap dalam bahasa Inggeris dalam video tersebut, yang disampaikan oleh peguamnya kepada BBC, Putera Hamza berkata beliau bukan sebahagian daripada konspirasi asing dan menuduh kepemimpinan negara itu melakukan rasuah dan tidak cekap.

Menurutnya beberapa rakannya juga ditahan, pasukan keselamatannya ditarik balik dan akses internet dan telefonnya disekat.

Putera Hamzah berkata beliau dihukum kerana mengambil bahagian dalam pertemuan dengan pemimpin puak negara itu yang mana beliau dipercayai cuba untuk menggembleng sokongan.

Putera Hamzah adalah anak sulung kepada Allahyarham Raja Hussein dan isterinya, Permaisuri Noor.

Raja Abdullah melantik Putera Hamzah sebagai putera mahkota pada 1999 berdasarkan permintaan Raja Abdullah, namun pada 2004 menarik balik gelaran itu dan sebaliknya melantik anak sulungnya, Hussein.

Jeneral tertinggi negara itu pada awalnya menafikan Putera Hamzah, ditangkap atau berada dalam tahanan rumah.

Agensi berita rasmi Petra menamakan Bassem Awadallah, dan Sherif Hassan Zaid antara individu yang ditahan dalam operasi khas, menurut sumber keselamatan.

Sherif adalah gelaran dikurniakan kepada individu yang rapat dengan keluarga diraja. 

Sumber : AFP/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan