Abang sulung lelaki serang Balai Polis Ulu Tiram didakwa sokong, milik bahan berkait ISIS
Pegawai polis forensik di luar balai polis Ulu Tiram di Johor, Malaysia, di mana dua pegawai polis dibunuh pada 17 Mei 2024. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Radin Romyullah Radin Imran, 34 tahun, seorang penghantar makanan, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim K.Muniandy, yang kemudiannya menetapkan 15 November untuk pengurusan kes.
Dalam pertuduhan pertama, lelaki tersebut didakwa memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas iaitu Abu Bakar Al-Baghdadi di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor pada penghujung 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Radin Romyullah juga didakwa memiliki satu cakera keras yang mengandungi bahan-bahan berkaitan kumpulan pengganas ISIS, dan perlakuan perbuatan kumpulan itu di lokasi sama pada pukul 10.45 pagi, 17 Mei dan 2.30 petang, 19 Mei lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan berkata Radin Romyullah akan dibicarakan bersama tertuduh lain yang sebelum ini dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, di hadapan hakim berbeza.
“Pihak pendakwaan berhasrat untuk menjalankan perbicaraan bersama dan permohonan rasmi akan dibuat,” katanya.
Peguam Arief Firdaus Ashikin yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan itu.
Pada 30 September, ibu tertuduh Rosna Jantan, 59 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur atas pertuduhan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.
Dalam serangan di balai polis itu 17 Mei, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38 tahun, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki yang akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.