Abang rentung, adik berjaya selamatkan diri apabila rumah terbakar
Seorang lelaki rentung manakala adiknya berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Bukit Saga, Seksyen 26 di Shah Alam pada awal pagi tadi (23 Jul).

(Gambar fail: Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia/Facebook)
SHAH ALAM: Seorang lelaki rentung manakala adiknya berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Taman Bukit Saga, Seksyen 26 di Shah Alam pada awal pagi tadi (23 Jul).
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata dalam insiden kira-kira pukul 4.00 pagi itu, mangsa yang rentung, Ahmad Zulhilman Zakaria, 27 tahun, ditemui di bilik tidurnya di tingkat atas rumah berkenaan.
Beliau berkata adik mangsa, Ahmad Hamizan, 25 tahun, yang berada di bilik tidurnya di tingkat bawah rumah pula menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap sebelum meminta bantuan jiran.
"Rumah ini didiami tiga beradik lelaki dewasa dan ibu bapa mereka bekerja di luar negara. Siasatan mendapati, adik bongsu mereka, Ahmad Nazmi, 21 tahun, tiada di rumah ketika kebakaran dan dimaklumkan beliau bermalam di rumah kawannya.
"Rumah dua tingkat ini dianggarkan terbakar 90 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk tindakan lanjut," kata Hafisham kepada para wartawan di lokasi kebakaran.
Sementara itu, seorang jiran mangsa yang enggan dikenali memberitahu bahawa beliau ada terdengar bunyi kaca pecah serta jeritan Ahmad Zulhilman meminta tolong kira-kira pukul 3.00 pagi dan menganggap rumah mereka dipecah masuk pencuri.
Namun, ketika keluar untuk menjengah rumah jirannya itu, beliau terkejut melihat api sangat marak dan asap yang tebal.
"Adiknya (Ahmad Hamizan) datang kepada saya dan beritahu abangnya tak boleh keluar. Beberapa jiran lain pun datang untuk bantu tapi api sangat marak dan haba terlalu panas menyebabkan kami langsung tak boleh dekat (dengan rumah tersebut).
"Saya yang menelefon bomba. Namun kami jiran-jiran berasa kesal kerana tak dapat bantu mangsa sebab mereka sekeluarga dah duduk sini sejak puluhan tahun lepas. Ibu bapa mereka pula tiada di sini (bekerja di luar negara)," ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.