Abang Johari nafi anak mahu ambil alih MYAirline selepas syarikat penerbangan gantung operasi
Premier Sarawak Abang Johari Openg. (Gambar fail: BERNAMA)
KUCHING: Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg pada Khamis (12 Okt) menafikan laporan sebuah akhbar yang mengaitkan anaknya, Abang Abdillah Izzarim, sebagai bakal pelabur baharu MyAirline Sdn Bhd (MYAirline).
Syarikat penerbangan tersebut pada pagi Khamis memaklumkan untuk menggantung operasinya berikutan mengalami masalah kewangan.
Bercakap kepada para wartawan, Abang Johari berkata spekulasi yang dibuat oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris itu berkemungkinan timbul ekoran kehadiran Abang Abdillah pada satu sesi dialog syarikat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
"Tak...(sebenarnya) apa yang berlaku ialah anak saya ke sana bersama kawannya dan beliau pada waktu itu ada dialog syarikat. Oleh itu, mereka (media) membuat spekulasi itu setelah nampak kehadirannya.
"Anak saya jadi serba salah. Hendak berjalan (bergerak) pun susah, semua (pergerakannya) diperhatikan orang. Bagi saya, ini tidak adil," kata beliau.
Pada masa sama, Abang Johari turut menyangkal spekulasi mengenai kemungkinan MYAirline menjadi sebuah syarikat penerbangan milik Sarawak.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri itu masih menumpukan usaha rundingan bagi pengambilalihan MASWings yang juga anak syarikat Malaysia Airlines Berhad.
"Kita fokus dengan (pengambilalihan) MASWings. Usaha itu sedang dalam proses perbincangan sekarang...ianya lebih kepada perincian butiran. Hanya itu saja," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.