90 maut dalam letupan gas lombong arang batu China
Pasukan penyelamat menjalankan operasi di lokasi kejadian menyusuli letupan gas di lombong arang batu Liushenyu di daerah Qinyuan, wilayah Shanxi, China, pada 23 Mei 2026. (Gambar: cnsphoto menerusi Reuters)
Letupan gas itu berlaku lewat Jumaat di lombong arang batu Liushenyu di daerah Qinyuan, ketika 247 pekerja sedang bertugas di bawah tanah, lapor Xinhua sebelum ini.
Presiden China Xi Jinping menggesa pihak berkuasa supaya “berusaha sedaya upaya” merawat mangsa yang cedera serta menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Beliau juga mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap punca kemalangan disusuli tindakan tegas mengikut undang-undang.
Perdana Menteri Li Qiang turut mengulangi arahan tersebut dengan menyeru agar maklumat disampaikan secara tepat dan segera serta dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Operasi menyelamat masih diteruskan dan punca kemalangan sedang disiasat, menurut pihak berkuasa pengurusan kecemasan tempatan di Qinyuan.
Para eksekutif syarikat yang bertanggungjawab ke atas lombong itu sudah ditahan, lapor Xinhua.
Menurut akhbar People’s Daily, seramai 156 orang berjaya diselamatkan. Seramai 870 petugas perubatan, penyelamat dan anggota polis sudah dikerahkan.
Angka korban itu meningkat dengan mendadak daripada lapan kematian yang dilaporkan pada pagi Sabtu.
Xinhua sebelum ini melaporkan puluhan pekerja terperangkap di bawah tanah selepas tahap karbon monoksida di lombong tersebut “melebihi hadnya”.
Sebahagian mangsa yang terperangkap dilaporkan berada dalam keadaan tenat.
China berjaya mengurangkan kematian di lombong arang batu secara ketara sejak awal 2000-an menerusi peraturan lebih ketat dan amalan keselamatan yang lebih baik.
Namun, insiden di Liushenyu itu merupakan antara kemalangan lombong yang meragut nyawa paling ramai pekerja dalam tempoh sedekad lalu di negara itu.
Menurut data rasmi Pentadbiran Keselamatan Lombong Nasional (NMSA), lebih 3,000 kemalangan lombong berlaku di China antara 2010 hingga 2025.
Bulan lalu sahaja, empat orang ditemui maut selepas bumbung di sebuah lombong arang batu roboh, di daerah Xingxian, Shanxi.
Shanxi, antara wilayah termiskin di China, merupakan pusat perlombongan arang batu negara itu.
China merupakan pengguna arang batu terbesar dunia dan pengeluar gas rumah hijau terbesar, meskipun ia meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui pada kadar rekod.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.