Skip to main content

Dunia

90% agihan kerusi 3 negeri PH selesai, kata Timbalan Presiden Amanah

Anggaran Waktu Membaca:
90% agihan kerusi 3 negeri PH selesai, kata Timbalan Presiden Amanah

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Salahuddin Ayub. (Gambar: BERNAMA)

JOHOR BAHRU: Agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di tiga negeri di bawah pentadbiran PH 90 peratus selesai.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Salahuddin Ayub berkata tiga negeri itu adalah Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Bagi tiga negeri lain iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, beliau berkata rundingan masih lagi dijalankan di peringkat kepimpinan negeri masing-masing.

"Kita beri kebebasan kepada kepimpinan negeri masing-masing untuk mengadakan rundingan berhubung agihan kerusi, macam Kedah sudah ada beberapa pusingan untuk mereka berunding.

"Ada negeri pula yang baru saja nak bermula rundingan, biasanya kita memerlukan dua atau tiga kali rundingan, barulah dapat selesai isu-isu termasuk kerusi yang kita nak pertandingkan,” katanya kepada para pemberita selepas melakukan pemeriksaan mengejut ke Pasar Awam Larkin Sentral di Johor Bahru pada Jumaat (21 Apr). 

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perkembangan agihan kerusi antara PH dengan BN di enam negeri yang akan berdepan PRN tidak lama lagi.

Ditanya keyakinan Amanah untuk menembusi tiga negeri yang merupakan kubu kuat Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, Salahuddin berkata tiada keadaan yang statik dalam politik.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, saya rasa keadaan politik begitu mudah berubah, jadi apa yang berlaku, mungkin PAS dan PN mendakwa itu kubu kuat mereka, belum tentu juga, kita akan buat penampilan terbaik di ketiga-tiga negeri itu," katanya.

Menurutnya, pada masa sama, Amanah juga akan pastikan parti itu bekerja keras di negeri-negeri di bawah pentadbiran PH sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi dengan mudah.

“Macam Kedah kita rasa mempunyai peluang agak baik, Kelantan dan Terengganu kita akan letakkan calon berpotensi,” kata beliau.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita