Skip to main content

Dunia

9 terkorban di M'sia setelah kenderaan terjatuh ke dalam sungai

Kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Pangkalan Feri Triso, kira-kira 120 kilometer dari sini, dikatakan hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam sungai itu dan mengorbankan sembilan nyawa yang berada di dalamnya.

Anggaran Waktu Membaca:
9 terkorban di M'sia setelah kenderaan terjatuh ke dalam sungai

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 02 Jan 2021 07:53AM Dikemas Kini : 02 Jan 2021 07:57AM

KUCHING: Kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Pangkalan Feri Triso, kira-kira 120 kilometer dari sini, dikatakan hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam sungai itu dan mengorbankan sembilan nyawa yang berada di dalamnya.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Bingkok John berkata 4WD jenis Ford Ranger yang dipandu oleh seorang wanita, Cik Ronany Ting, 33, itu dalam perjalanan dari Kapit menuju ke Kuching menggunakan Jalan Beladin-Meludam.

“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai pemandu gagal mengawal pergerakan kenderaan itu menyebabkan kenderaan berkenaan terbabas dan menggelongsor jatuh ke dalam (Sungai) Batang Lupar,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat (1 Jan).

Menurutnya orang ramai yang berada di kawasan jeti itu sempat mengikat kenderaan berkenaan dengan rantai besi dan menariknya bagi menghalang 4WD tersebut tenggelam sebelum bertindak mengeluarkan kesemua mangsa.

“Siasatan punca kejadian dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (Sri Aman). Kesemua mayat dibawa ke Hospital Sri Aman untuk dibedah siasat,” katanya.

Selain Cik Ronany, tragedi kira-kira pukul 3.00 petang itu turut mengorbankan lapan lagi penumpang iaitu Ciik Siti Aisha Abdullah, 36; tiga remaja yang dikenal pasti sebagai Nor Shuhada Mohamad, 16 (perempuan); Khairunnisa Muhamad, 14 (perempuan); Alvin Phang, 12 (lelaki) dan tiga kanak-kanak lelaki iaitu Wallace Phang,7; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7 dan Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5.

Tragedi itu turut meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dikenal pasti sebagai Mohd Ahmad Mohd Hamdan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar Cik Rohani Abdul Karim mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Katanya wakil beliau juga telah bertemu dengan anggota keluarga mangsa.

“Saya berharap semua pengguna Feri Triso berhati-hati dalam perjalanan, terutamanya yang dalam perjalanan jauh dan sentiasa mengutamakan keselamatan anda dan keluarga anda,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita