9 terbunuh dalam insiden tembakan di sekolah di Austria

Anggota polis dilihat di sebuah jalan berhampiran sekolah di mana, menurut laporan, beberapa orang maut dalam kejadian tembakan, pada 10 Jun 2025 di Graz, Austria tenggara. (Gambar: APA/AFP/ERWIN SCHERIAU)
Datuk bandar Graz Elke Kahr, dipetik oleh agensi berita Austria APA, berkata ramai yang cedera juga sudah dibawa ke hospital berikutan kejadian tembakan itu, yang beliau sifatkan sebagai "tragedi yang mengerikan".
Agensi berita Kronen Zeitung melaporkan bahawa sekurang-kurangnya lapan orang maut dan sekurang-kurangnya 10 yang lain cedera parah. Pihak polis tidak memberikan jumlah awal tetapi mengatakan "beberapa" orang maut.
Laporan-laporan tersebut tidak menyatakan berapa ramai daripada mangsa yang terbunuh adalah pelajar. Ambulans berada di tempat kejadian di luar sekolah.
Jurucakap polis tempatan berkata kawasan tersebut sudah dikawal. Orang ramai dipindahkan dari sekolah dan anggota keluarga mangsa serta pelajar sedang dijaga, katanya.
"Tiada lagi bahaya kepada penduduk, tetapi terdapat beberapa kematian," katanya kepada televisyen Austria.
Menurut penyiar awam Austria ORF, memetik polis, seorang pelajar bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut.
Kronen Zeitung melaporkan seorang suspek ditemui mati di dalam tandas. Reuters tidak dapat mengesahkan perkara ini dengan segera.
Austria adalah antara negara Eropah yang ramai penduduknya mempunyai senjata api. Dianggarkan, bagi setiap 100 orang, ada 30 senjata api. Ini adalah berdasarkan laporan dari Small Arms Survey, sebuah badan penyelidik bebas.
Mesingan dan senapang pam dilarang, manakala pemilikan revolver, pistol dan senjata separa automatik hanya dibenarkan dengan kebenaran rasmi. Senapang dibenarkan dengan lesen senjata api atau lesen memburu yang sah, atau untuk ahli kelab menembak tradisional.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.