9 maut termasuk 3 kanak-kanak susuli serangan udara Israel ke atas Gaza
9 maut termasuk 3 kanak-kanak susuli serangan udara Israel ke atas Gaza.
9 maut termasuk 3 kanak-kanak susuli serangan udara Israel ke atas Gaza. (Gambar: AP/Khalil Hamra)
BAITULMAKDIS: Israel melancarkan serangan-serangan udara ke atas Gaza pada Isnin (10 Mei) sebagai respons terhadap bedilan roket yang dilancarkan oleh kumpulan Hamas di tengah-tengah keganasan yang semakin memuncak menyusuli rusuhan di pekarangan Masjid Al-Aqsa.
Sekurangnya-kurangnya sembilan orang - termasuk tiga kanak-kanak dan seorang komander kanan Hamas - terkorban di Gaza, menurut pihak berkuasa tempatan. Bagaimanapun, tidak jelas sama ada mereka semua maut akibat serangan udara Israel atau roket-roket Hamas yang tersasar.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa Hamas sudah melampaui "garis merah" dengan melancarkan peluru berpandu ke arah Baitulmakdis dan Israel akan bertindak dengan "respons tegas".
"Kami tidak akan bertolak ansur terhadap serangan ke atas wilayah kami, ibu kota kami, rakyat kami dan askar kami. Mereka yang menyerang kami akan menanggung padahnya."
Menurut tentera Israel, sekurang-kurangnya 45 roket dilancarkan daripada kawasan pantai ke Israel. Beberapa roket itu dipintas oleh sistem pertahanan anti peluru berpandu Iron Dome Israel atau gugur di kawasan tanah lapang dan tiada kematian dilaporkan.
Seorang jurucakap tentera Israel, Jonathan Conricus berkata: "Kami sudah mula dan saya ulangi, akan melancarkan serangan yang menyasarkan tentera di Gaza."
Conricus berkata pasukan-pasukan Israel menyasarkan "operasi tentera Hamas", manakala sumber-sumber Hamas mengesahkan dengan AFP bahawa salah seorang komandernya, Mohammed Fayyad, sudah terbunuh.
Keadaan tegang di Baitulmakdis semakin memuncak sejak polis anti rusuhan Israel bertempur dengan para penduduk Palestin yang sedang menunaikan solat pada hari Jumaat terakhir bulan Ramadan. Pergolakan itu adalah yang paling dahsyat sejak 2017.
Sejak itu, rusuhan-rusuhan yang berlaku setiap malam di pekarangan Masjid Al-Aqsa menyebabkan beratus-ratus warga Palestin cedera, mengundang gesaan demi gesaan daripada masyarakat antarabangsa supaya mengembalikan keadaan tenang serta kritikan keras daripada dunia Islam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.