Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

9 maut, puluhan cedera akibat letupan bom di pulau Jolo

Pengeboman di sebuah bandar di pulau yang terletak di selatan Filipina, meragut nyawa sembilan orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain termasuk orang awam dan askar pada Isnin (24 Ogos), menurut seorang jurucakap tentera.

Anggaran Waktu Membaca:
9 maut, puluhan cedera akibat letupan bom di pulau Jolo

Letupan di Jolo, selatan Filipina pada 20 Ogos 2020 ragut sekurang-kurangnya 9 nyawa (Gambar: AFP/Nickee BUTLANGAN)

Diterbitkan : 24 Aug 2020 06:24PM Dikemas Kini : 24 Aug 2020 06:29PM

MANILA: Pengeboman di sebuah bandar di pulau yang terletak di selatan Filipina, meragut nyawa sembilan orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain termasuk orang awam dan askar pada Isnin (24 Ogos), menurut seorang jurucakap tentera.

Dua letupan dipercayai bom buatan sendiri berlaku selang sejam antara satu sama lain di pusat bandar utama di pulau Jolo, kubu kuat Abu Sayyaf, sebuah kumpulan militan yang mengikrarkan taat setia kepada ISIS.

Serangan itu adalah yang terbesar di bandar tersebut sejak Januari 2019 apabila serangan nekad dilancarkan secara serentak sebelum berlangsung satu acara keagamaan di sebuah gereja di Jolo yang meragut lebih 20 nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 100 orang.

Kumpulan serpihan Abu Sayyaf dituduh bertanggungjawab atas serangan itu, yang menurut pihak berkuasa Filipina, melibatkan para pengebom dari Indonesia.

Letupan pertama pada Isnin berlaku sekitar waktu tengah hari di hadapan sebuah pusat makanan, berdekatan dengan dua lori tentera, menurut pihak tentera. Letupan kedua pula menyusul kemudian, namun tiada korban jiwa dilaporkan sejauh ini.

Letupan pertama mengorbankan lima askar dan empat orang awam dan 16 kakitangan tentera adalah antara berpuluh-puluh mangsa yang cedera, kata Leftenan Jeneral Corleto Vinluan, ketua tentera Mindanao Barat.

Leftenan Kolonel Ronaldo Mateo, seorang jurucakap tentera, berkata bom itu dipasang pada motosikal yang diletakkan berdekatan dengan tempat kejadian.

Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab dan siasatan polis diteruskan.

Sumber : Reuters/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa