9 maut dalam serangan Israel di Gaza; Mesir anjur rundingan baharu gencatan senjata
Sembilan rakyat Palestin terbunuh dan sekurang-kurangnya 16 yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah balai polis yang dikendalikan Hamas di Carikan Gaza pada Ahad (7 Jun), menurut pegawai kesihatan, sedang para perantara memulakan usaha baharu untuk menyelamatkan perjanjian gencatan senjata rapuh yang diusahakan Amerika Syarikat.
Seorang lelaki Palestin meninjau-ninjau lokasi serangan Israel di Khan Younis, selatan Carikan Gaza, pada 7 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Ramadan Abed)
This audio is generated by an AI tool.
Para petugas perubatan tidak menyatakan berapa ramai daripada mangsa yang terkorban atau cedera merupakan anggota polis.
Serangan itu menyasarkan sebuah pondok polis yang terletak bersebelahan dengan kawasan perkhemahan besar yang menempatkan keluarga-keluarga yang kehilangan tempat tinggal di Khan Younis, di selatan wilayah tersebut.
Tentera Israel tidak membuat komen segera berhubung kejadian tersebut.
Israel telah meningkatkan serangan terhadap ibu pejabat polis dan anggota polis sejak beberapa bulan lalu, mengorbankan puluhan anggota polis, menurut pegawai keselamatan Hamas.
Pertempuran besar telah dihentikan sejak Oktober menerusi gencatan senjata selepas dua tahun peperangan, namun tiada persetujuan dicapai bagi melaksanakan pelan susulan yang disokong Amerika Syarikat yang menggariskan pengunduran tentera Israel, pelucutan senjata Hamas dan pembinaan semula Gaza.
Tentera Israel masih menguasai lebih separuh daripada wilayah Gaza, di mana mereka mengarahkan para penduduk agar berpindah keluar dan memusnahkan bangunan yang masih berdiri.
Hampir keseluruhan penduduk Gaza yang berjumlah dua juta orang kini tinggal di kawasan kecil di sepanjang pesisir pantai, kebanyakannya di khemah sementara atau bangunan yang rosak, di bawah kawalan Hamas.
Hampir 10,000 anggota polis Hamas menjadi antara isu utama yang menghalang kemajuan rundingan berhubung pelan Gaza yang diusulkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Hamas menuntut agar mereka diserap ke dalam pasukan polis baharu, manakala Israel menolak sebarang peranan untuk para individu yang mempunyai kaitan dengan Hamas.
Dalam pada itu, Mesir mula menjadi tuan rumah bagi pusingan baharu rundingan gencatan senjata yang melibatkan pemimpin Hamas dan kumpulan Palestin lain, menurut sumber Hamas dan sumber lain yang mengetahui tentang rundingan tersebut. Rundingan itu dijangka berlangsung selama beberapa hari.
Israel dan Hamas berulang kali saling menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata. Serangan Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 950 rakyat Palestin sejak gencatan senjata bermula, manakala serangan kumpulan bersenjata Palestin pula mengorbankan empat askar Israel.
Perjanjian yang dicapai tahun lalu menubuhkan Lembaga Keamanan yang diketuai Encik Trump bagi menyelia pelaksanaan gencatan senjata secara berperingkat, dan ia disahkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun, banyak isu rumit yang menjadi pertikaian, termasuk pelucutan senjata Hamas, pengunduran Israel dan pembentukan pemerintah Gaza, ditangguhkan ke peringkat seterusnya dalam proses tersebut.
Para perunding Lembaga Keamanan terus mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pihak berhubung isu pelucutan senjata.
Hamas memberitahu wakil Lembaga Keamanan serta para perantara dari Mesir, Qatar dan Turki bahawa penghentian serangan Israel di Gaza merupakan syarat yang penting untuk mencapai sebarang kemajuan, menurut sumber Hamas dan pegawai yang mengetahui tentang rundingan tersebut.
Jurucakap Hamas di Gaza, Hazem Qassem, berkata pada Ahad bahawa kumpulan itu terbuka kepada sebarang cadangan yang boleh membawa kepada penghentian serangan Israel di Gaza serta mencapai titik persamaan berhubung isu-isu dalam fasa kedua pelan Encik Trump.
Namun beliau berkata Lembaga Keamanan perlu berhenti bersikap "berat sebelah" dan memihak kepada Israel.
Hampir 73,000 orang terbunuh di Gaza sejak perang bermula, kebanyakannya orang awam, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Israel melancarkan serangan tersebut selepas kumpulan bersenjata yang diketuai Hamas merentasi sempadan pada 7 Oktober 2023, membunuh 1,200 orang dan menawan seramai 251 tebusan warga Israel dan lain-lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.