Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

9 maut dalam nahas ambulans udara di Filipina

Sembilan orang terkorban apabila sebuah pesawat ambulans udara terhempas di kawasan resort berdekatan ibu kota Filipina pada Ahad (1 Sep), mencetuskan kebakaran yang besar dan menyebabkan para penduduk tempatan melarikan diri dalam keadaan ketakutan, menurut pihak berkuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
9 maut dalam nahas ambulans udara di Filipina

(Gambar: AFP/STR)

Diterbitkan : 02 Sep 2019 08:35AM Dikemas Kini : 02 Sep 2019 08:38AM

MANILA: Sembilan orang terkorban apabila sebuah pesawat ambulans udara terhempas di kawasan resort berdekatan ibu kota Filipina pada Ahad (1 Sep), mencetuskan kebakaran yang besar dan menyebabkan para penduduk tempatan melarikan diri dalam keadaan ketakutan, menurut pihak berkuasa.

Video dramatik yang dimuat naik ke laman media sosial menunjukkan kenderaan-kenderaan kecemasan bergegas ke arah sebuah bangunan yang diselubungi api yang marak di Calamba City, sedang pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya menjauhi kawasan tersebut demi keselamatan mereka.

Selepas kebakaran itu dipadamkan, pasukan penyelamat menemui sembilan mayat di kawasan yang terbakar - dipercayai para penumpang pesawat ringan King Air 350.

"Tiada orang yang boleh terselamat daripada nahas ini. Kami menganggap semua penumpang yang disahkan menaiki pesawat ini terkorban," kata pegawai keselamatan tempatan Jeffrey Rodriguez kepada AFP.

Pihak polis berkata dua orang yang berada di tempat kejadian turut cedera dalam nahas tersebut dan dikejarkan ke hospital. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada mereka yang berada di kawasan resort semasa pesawat itu terhempas.

Penguasa penerbangan Filipina menyatakan bahawa pesawat itu membawa seorang pesakit dan pasukan perubatan dari selatan negara itu menuju ke ibu kota apabila ia hilang daripada imbasan radar sekitar 46 kilometer dari Manila.

Terdapat banyak resort di kawasan nahas itu dan ia biasanya penuh sesak dengan pengunjung semasa musim panas.

Kemalangan pesawat ringan yang membawa maut bukanlah sesuatu yang luar biasa di Filipina, di mana pesawat-pesawat kecil digunakan untuk mengunjungi pulau-pulau di negara tersebut.

10 orang terkorban pada Mac 2018 apabila sebuah pesawat terhempas sejurus selepas ia berlepas dari bandar Plaridel berdekatan Manila, meragut nyawa kesemua penumpang serta empat orang yang berada di tempat kejadian.

Sumber : AFP/AY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan