Skip to main content

Dunia

9 maut, 15 terperangkap selepas terowong di India runtuh

Anggaran Waktu Membaca:
 9 maut, 15 terperangkap selepas terowong di India runtuh

Pelancong menaiki bot di sungai Teesta river di daerah Jalpaiguri, sekitar 25 km dari Siliguri, 7 Feb 2021.

Diterbitkan : 21 Jul 2026 04:02PM Dikemas Kini : 21 Jul 2026 04:30PM
NEW DELHI: Sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban dan 15 yang lain masih terperangkap selepas sebuah terowong runtuh di sebuah projek hidroelektrik yang sedang dibina di kawasan terpencil di timur laut India, kata pegawai pada Selasa (21 Jul).

Kejadian berlaku pada Isnin (20 Jul) di Sikkim, sebuah wilayah di kawasan Himalaya, tempat para pekerja sedang membina terowong untuk projek kuasa hidro milik pemerintah di Sungai Teesta.

"Kami menganggarkan sekitar 25 hingga 27 orang terperangkap," kata Rajiv Roka, pengarah Penguasa Pengurusan Bencana Wilayah Sikkim, kepada AFP.

"Sembilan mayat ditemui."

Runtuhan itu berkemungkinan berpunca daripada satu letupan, namun puncanya masih belum dipastikan.

Daerah tersebut dilanda hujan lebat musim tengkujuh sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Encik Roka berkata pihak berkuasa "tidak pasti apa yang menyebabkan letupan itu kerana ia berlaku jauh di dalam terowong", sambil menambah bahawa "ia berkemungkinan besar berpunca daripada faktor semula jadi".

Kebocoran gas metana beracun daripada batuan di bawah tanah menjejaskan usaha menyelamat, kata para pegawai, menyebabkan hanya pasukan yang membawa peralatan oksigen sahaja dibenarkan masuk.

"Operasi menyelamat secara giat sedang dijalankan, tetapi masalahnya terdapat banyak gas di sana," kata Encik Roka.

Sebuah pasukan khas yang terlatih dalam kemalangan dalam lombong telah diterbangkan ke lokasi untuk membantu para penyelamat, tambahnya.

Kemalangan di tapak binaan prasarana besar kerap berlaku di India, namun ahli ekologi menyatakan bahawa projek pembangunan yang berlebihan telah menyebabkan lebih banyak bencana berlaku di kawasan Himalaya yang sensitif dan rapuh.

Pada 2023, seramai 41 pekerja berjaya diselamatkan selepas terperangkap selama 17 hari di bawah terowong jalan raya Himalaya yang runtuh di utara wilayah Uttarakhand.
Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita