Skip to main content

Dunia

85 cedera dalam nahas pesawat Aeromexico di Mexico

Menukil laporan awal, pengendali lapangan terbang Durango, Grupo Aeroportuario Centro Norte menyatakan bahawa kemalangan itu berlaku disebabkan keadaan cuaca buruk.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Aug 2018 11:11AM Dikemas Kini : 01 Aug 2018 10:32PM

MEXICO: Sekitar 85 orang cedera pada hari Selasa (31 Jul), sebahagiannya serius, apabila sebuah jet penumpang Embraer yang dikendalikan oleh Aeromexico terhempas sejurus selepas ia berlepas dari Durango, Mexico. Bagaimanapun pihak berkuasa menyatakan ia tidak menyebabkan korban nyawa.

Menukil laporan awal, pengendali lapangan terbang Durango, Grupo Aeroportuario Centro Norte menyatakan bahawa kemalangan itu berlaku disebabkan keadaan cuaca buruk.

Jet bersaiz sederhana itu membawa 97 penumpang dan empat anak kapal apabila ia terhempas pada jam 4.00 petang (5.00 pagi waktu Singapura pada Rabu).

Demikian menurut Encik Gerardo Ruiz Esparza, menteri perhubungan dan pengangkutan Mexico di Twitter.

"Pesawat itu sedang berlepas," kata Gabenor Jose Rosas Aispuro kepada stesen televisyen Mexico, sambil menambah bahawa para saksi memberitahunya terdapat "bunyi kuat" dan tanpa sebarang amaran, pesawat itu terhempas ke darat.

Gambar-gambar televisyen menunjukkan pesawat mengalami kemusnahan teruk dan kepulan asap boleh dilihat.

Pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan sekitar 10 kilometer dari lapangan terbang sejurus setelah ia berlepas, munurut Encik Alejandro Cardoza, seorang jurucakap agensi perlindungan awam negeri di televisyen tempatan.

Menurut Encik Cardoza dalam satu wawancara, sekitar 85 orang cedera dan kebakaran yang berlaku akibat kemalangan itu sudah dipadamkan dan tiada mangsa kebakaran dilaporkan.

"Ramai penumpang berjaya meninggalkan pesawat dengan berjalan kaki," katanya.

Syarikat penerbangan Mexico itu menyatakan di Twitter bahawa penerbangan 2431 adalah sebuah Embraer 190 dan sedang dalam perjalanan ke Mexico City apabila ia terhempas.

Pihak Embraer tidak segera memberikan respons ketika diminta mengulas.

Presiden Mexico Enrique Pena Nieto menulis di Twitter bahawa beliau sudah mengarahkan kementerian pertahanan, perlindungan awam dan pengangkutan untuk memberikan respons terhadap kemalangan itu. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita