Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

830 botol minuman disita kerana guna logo halal yang dibatalkan

Sebuah syarikat memproses minuman di kawasan perindustrian Bandar Pinggiran Subang, Malaysia, mengalami kerugian RM45,000 (S$15,000).

Anggaran Waktu Membaca:
830 botol minuman disita kerana guna logo halal yang dibatalkan

Anggota KPDNHEP Selangor menerangkan sesuatu kepada wakil syarikat yang menggunakan logo halal telah dibatalkan. (Gambar: Utusan Malaysia)

Diterbitkan : 08 Dec 2020 07:16PM Dikemas Kini : 08 Dec 2020 07:18PM

SHAH ALAM: Sebuah syarikat memproses minuman di kawasan perindustrian Bandar Pinggiran Subang, Malaysia, mengalami kerugian RM45,000 (S$15,000) apabila produk keluaran syarikat tersebut disita penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, pada Isnin (8 Dis).

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata serbuan yang dilaksanakan sekitar 11.45 pagi itu dijalankan susulan syarikat tersebut masih menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dibatalkan.

"Maklumat awal berdasarkan pemantauan KPDNHEP sejak sebulan lepas mendapati, syarikat berkenaan masih menggunakan logo halal Jakim yang dibatalkan atas alasan operasi premis tersebut gagal mematuhi standard pemegang sijil halal yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Antara kegagalan syarikat tersebut ialah keadaan premis yang kotor dan bahan mentah diletakkan di atas lantai kilang," katanya.

Muhamad Zikril Azan berkata ketika serbuan dijalankan, pasukannya menemukan sejumlah 830 botol minuman kordial menggunakan logo halal Jakim yang dibatalkan penggunaannya. 

"Turut ditemui adalah sejumlah 4,100 kotak pembungkus dan hampir 700 gulung pelekat atau label produk yang menggunakan logo halal yang telah dibatalkan penggunaan oleh JAIS," katanya.

Muhamad Zikril Azan berkata pasukannya juga telah menemui wakil syarikat tersebut dan dikatakan premis itu telah membuat permohonan rayuan ke atas penarikan sijil halal berkenaan.

Namun, Muhamad Zikril Azan berkata permohonan itu ditolak oleh JAIS berikutan terdapat teguran-teguran yang gagal diambil tindakan sewajarnya oleh syarikat itu dalam tempoh yang ditetapkan.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Peraturan 4 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Sumber : Bernama/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan