800 maut, 2,800 cedera susuli gegaran 6.0 Richter di timur Afghanistan
Sekurang-kurangnya 800 orang maut dan lebih 2,800 cedera setelah gempa sekuat 6.0 pada skala Richter menggoncang timur Afghanistan.
Jumlah kematian dijangka terus meningkat sedang operasi mencari dan menyelamat dijalankan susuli gempa bumi di timur Afghanistan. (Gambar: AFP)
Gempa berlaku sejurus sebelum tengah malam waktu tempatan pada Ahad (31 Ogos) dan turut dirasai di Kabul serta ibu kota Pakistan, Islamabad.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa jumlah kematian dijangka terus meningkat sedang operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Angka korban sebenar dan skala kerosakan akibat bencana tersebut sukar disahkan, memandangkan ia berlaku di kawasan-kawasan terpencil.
Menurut pihak berkuasa setempat, gempa melanda sebuah kawasan pergunungan berhampiran sempadan Pakistan.
Pusat gempa dikenal pasti kira-kira 27 kilometer dari timur laut Jalalabad, iaitu bandar kelima terbesar Afghanistan, di wilayah Nangahar.
Terdapat laporan tentang gegaran susulan kuat di kawasan tersebut berikutan gempa itu.
Kajian Geologi Amerika Syarikat menyatakan gempa itu berlaku pada kedalaman hanya lapan kilometer.
Gempa bumi yang berlaku pada kedalaman lebih cetek biasanya menyebabkan lebih banyak kemusnahan.
Korban jiwa dan mangsa yang cedera dibawa menaiki helikopter ke hospital-hospital daerah berhampiran kerana jalan-jalan raya tidak boleh dilalui dek tanah runtuh.
Pemerintah Taliban menyatakan orang awam dan pegawai tentera turut terlibat dalam usaha tindak balas terhadap bencana itu.
Taliban juga merayu bantuan segera daripada pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.
Gempa melanda ketika Nangarhar kini bergelut dengan kejadian banjir kilat yang meragut sekurang-kurangnya lima nyawa pada hujung minggu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.