800 jemaah berada di Masjid Baiturrahman sebelum tsunami badai Palu
Sekitar Masjid Baiturrahman yang terletak di tengah bandar Palu di pulau Sulawesi menjadi antara kawasan teruk terjejas akibat gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan kejadian tsunami pada Jumaat lalu (28 Sep).
Keadaan di sekitar Masjid Baiturrahman yang terletak di bahagian tengah bandar Palu selepas dilanda gempa dan tsunami pada 28 September. (Gambar: AFP)
PALU: Sekitar Masjid Baiturrahman yang terletak di tengah bandar Palu di pulau Sulawesi menjadi antara kawasan teruk terjejas akibat gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan kejadian tsunami pada Jumaat lalu (28 Sep).
800 jemaah dianggarkan sedang bersiap menunaikan solat maghrib ketika dilanda bencana alam.
Seorang mangsa, Sultami Abdul Rohim, 31 tahun, yang berada berhampiran masjid berkenaan ketika bencana itu berlaku, berkata sebelum ombak naik, satu gegaran kuat berlaku sehingga menyebabkan keretakan pada bangunan.
"Gegaran itu sangat kuat sehingga ada yang menunggang motosikal jatuh dan semua orang panik cuba menyelamatkan diri masing-masing.
"Selepas gegaran itu, secara tiba-tiba datang satu arus ombak setinggi tiang elektrik terus membadai bangunan masjid serta pusat beli-belah berhampiran," kata beliau kepada Bernama hari ini (4 Okt).
Encik Sultami berkata dalam kekalutan itu, beliau sempat menyelamatkan diri dengan naik ke bangunan kedai berhampiran. Menurutnya, kawasan masjid itu turut menempatkan sebuah sekolah agama, namun semua pelajarnya selamat kerana waktu sekolah sudah tamat apabila kejadian itu berlaku.
"Jumlah mayat yang dijumpai di kawasan berhampiran masjid itu antara yang paling ramai, sekitar 300 orang," kata beliau.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada lebih 1,400 orang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.