80% pengasuh kanak-kanak 4 tahun ke bawah di taska M'sia tidak penuhi kelayakan minimum
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bahawa kekurangan bilangan pengasuh yang berkelayakan memberi kesan terhadap jumlah taska yang berdaftar.

Dr Wan Azizah Wan Ismail. (Gambar: MOHD RASFAN / AFP)
PUTRAJAYA: Sekitar 80 peratus atau seramai 13,700 pengasuh bagi kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah di taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih tidak memenuhi kelayakan minimum, Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak PERMATA (KAP) setakat Jun 2018.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bahawa kekurangan bilangan pengasuh yang berkelayakan memberi kesan terhadap jumlah taska yang berdaftar.
Jelasnya berdasarkan statistik tersebut, jika dianggap bahawa 50 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia yang berusia empat tahun ke bawah memerlukan taska, maka negara memerlukan sebanyak 38,333 buah taska bagi menampung jumlah kanak-kanak tersebut.
Bagaimanapun, katanya statistik pendaftaran taska JKM menunjukkan bahawa bilangan taska yang berdaftar adalah sebanyak 4,302 buah sahaja (11.22 peratus).
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata bilangan tersebut menunjukkan kekurangan yang amat jelas dari aspek keperluan dan ketersediaan taska di negara itu.
"Kekurangan pengasuh berkelayakan dan bilangan taska berdaftar akan memberi kesan terhadap jaminan kualiti dan keselamatan anak-anak kita," katanya.
Dr Wan Azizah menegaskan bahawa ketersediaan taska adalah penting bagi menyediakan sistem sokongan kepada ibu bapa yang bekerja dalam menguruskan anak-anak semasa tempoh mereka keluar bekerja.
Jelasnya kemudahan taska membolehkan golongan wanita atau ibu-ibu terus kekal atau kembali ke pasaran pekerjaan dan akan meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan sekaligus dapat menjana ekonomi keluarga dan negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.