Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

80,000-180,000 pekerja kesihatan maut akibat COVID-19 antara Jan 2020-Mei 2021

Sebanyak 80,000 hingga 180,000 pekerja penjagaan kesihatan meninggal dunia akibat COVID-19 antara Januari 2020 hingga Mei tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
80,000-180,000 pekerja kesihatan maut akibat COVID-19 antara Jan 2020-Mei 2021

(Gambar: AFP/Prakash SINGH)

Diterbitkan : 22 Oct 2021 07:24AM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 07:27AM

GENEVA: Sebanyak 80,000 hingga 180,000 pekerja penjagaan kesihatan meninggal dunia akibat COVID-19 antara Januari 2020 hingga Mei tahun ini.

Demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis (21 Okt) sambil menegaskan kumpulan berkenaan perlu diberi keutamaan dalam program vaksinasi.

Bagaimanapun badan itu menyatakan jutaan pekerja kesihatan masih belum divaksinasi yang didakwa akibat beberapa negara dan syarikat mengawal bekalan vaksin global.

Menurut laporan WHO, daripada 135 juta kakitangan kesihatan di seluruh dunia, "antara 80,000 hingga 180,000 pekerja kesihatan dan penjagaan maut akibat COVID-19 antara Januari 2020 hingga Mei 2021."

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pekerja penjagaan kesihatan perlu diberi keutamaan dalam program vaksinasi, sambil mengkritik ketidaksaksamarataan dalam pemberian vaksin global.

"Data daripada 119 negara menunjukkan purata dua daripada lima pekerja kesihatan dan penjagaan global lengkap divaksin. Tetapi sudah pasti purata yang belum menerima vaksin lebih besar," katanya.

"Di Afrika, kurang satu daripada 10 kakitangan kesihatan lengkap vaksin, manakala di negara berpendapatan tinggi lebih 80 peratus pekerja kesihatan sudah lengkap divaksin sepenuhnya."

Sehubungan itu beliau berkata WHO menggesa semua negara memastikan kesemua pekerja kesihatan dan penjagaan diberi keutamaan dalam pemberian vaksin COVID-19 bersama kumpulan berisiko yang lain.

WHO menggesa setiap negara memberikan vaksin kepada 40 peratus penduduknya menjelang akhir tahun ini tetapi Encik Tedros memberi amaran 82 negara berdepan risiko gagal mencapai sasaran itu berikutan kekurangan bekalan.

Di negara berpendapatan tinggi yang dikategorikan oleh Bank Dunia, 133 dos dibekalkan kepada 100 penduduk, manakala di 29 negara berpendapatan paling rendah, angka itu menurun kepada lima dos.

Bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown yang kini duta WHO bagi pendanaan kesihatan global berkata, sidang puncak G20 pada 30 hingga 31 Oktober di Rom akan menjadi titik kritikal dalam memerangi pandemik itu.

Virus baru itu telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 4.9 juta orang sejak penularannya dikesan di China pada Disember 2019, menurut kiraan daripada sumber rasmi yang dikumpulkan AFP.

Hampir 242 juta kes jangkitan dicatat sejauh ini.

Menurut Encik Brown, anggaran terbaru WHO menunjukkan terdapat lebih 200 juta lagi kes dengan lima juta daripada diancam maut jika bekalan vaksin tidak diperuntukkan semula dari negara kaya kepada negara miskin.  

Sumber : AFP/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan