8 warga Indonesia didakwa diperdaya untuk sertai tentera Rusia
Lapan warga Indonesia didakwa direkrut menyertai tentera Rusia selepas diperdaya dengan tawaran pekerjaan bergaji tinggi, menurut maklumat perisikan Ukraine yang dikongsi dengan pemerintah Indonesia.
Askar Rusia berbaris semasa upacara pembukaan tugu peringatan bagi anggota tentera Rusia yang terkorban dalam konflik Rusia-Ukraine di Yevpatoria, Crimea, pada 22 Feb 2024. (Gambar: Reuters/Alexey Pavlishak)
Menurut Perkhidmatan Perisikan Luar Ukraine (FISU), mereka didakwa dijanjikan pekerjaan bergaji tinggi sebelum direkrut menyertai tentera Rusia.
"Rusia terus merekrut warga asing secara sistematik untuk berperang menentang Ukraine ... Indonesia menjadi contoh terbaru corak ini," menurut FISU di laman webnya pada 27 Ogos 2026.
FISU mendakwa memperolehi dokumen sekurang-kurangnya lapan warga Indonesia yang direkrut menyertai tentera Rusia.
Bagaimanapun, FISU tidak menyatakan secara jelas bahawa lapan warga Indonesia itu terlibat dalam perang di Ukraine.
Agensi tersebut turut menerbitkan dokumen visa dan imigresen Rusia yang didakwanya milik lapan individu berkenaan.
Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia Sufmi Dasco Ahmad pada Selasa (1 Sep) mengesahkan bahawa maklumat mengenai perkara itu sudah dikongsi dengan Indonesia.
"Kami menerima maklumat daripada pihak perisikan bahawa pengambilan anggota tentera dilakukan oleh negara ketiga, yang menjadikannya seolah-olah tawaran pekerjaan sebagai kakitangan keselamatan atau pentadbiran dengan janji gaji tinggi," katanya seperti dipetik laman DPR.
Menurut Encik Dasco, pihak perisikan Indonesia dan Kementerian Luar sudah menyelaraskan usaha untuk menangani perkara tersebut serta menghantar wakil ke negara-negara berkaitan.
Jurucakap Kementerian Luar Indonesia Yvonne Mewengkang berkata pemerintah sedang mengesahkan maklumat tersebut menerusi perwakilan Indonesia di luar negara serta menyelaraskan usaha dengan kementerian dan agensi berkaitan.
"Maklumat mengenai identiti, status kewarganegaraan, proses pengambilan dan bentuk penglibatan individu yang disebut masih perlu disahkan dengan lebih lanjut," katanya seperti dipetik agensi berita Antara.
Cik Yvonne menegaskan bahawa Indonesia mempunyai peruntukan undang-undang yang jelas mengenai penglibatan rakyatnya dalam angkatan tentera asing, termasuk kesannya terhadap status kewarganegaraan mereka.
Menurutnya, jika penglibatan warga Indonesia dalam angkatan tentera asing itu disahkan, ia merupakan tindakan individu dan tidak mencerminkan dasar atau pendirian pemerintah Indonesia.
Pemerintah juga akan menyiasat sama ada mereka direkrut menerusi penipuan, eksploitasi atau tawaran pekerjaan yang tidak sepadan dengan tujuan sebenar.
"Jika didapati ada warga Indonesia yang menjadi mangsa dalam proses tersebut, pemerintah Indonesia akan mengambil langkah perlindungan yang diperlukan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa," kata Cik Yvonne.
FISU mengenal pasti lapan individu itu sebagai Yuda Putra Pratama, 29 tahun; Haryanto Dwi Kencana, 43 tahun; Erwanda, 38 tahun; Ngangun Hudri Fadli, 47 tahun; Muhammad Syaripudin, 32 tahun; M Hadi Maulana, 39 tahun; Wahyu Oktavian Iskandar, 40 tahun; dan Helmi Nuraha Hakim, 43 tahun.
DAKWA DITAWAR GAJI TINGGI, KEWARGANEGARAAN RUSIA
Menurut FISU, Kremlin menawarkan gaji tinggi, pekerjaan bukan tempur, proses mendapatkan kewarganegaraan Rusia dengan lebih cepat serta pelbagai faedah sosial kepada warga dari puluhan negara.
FISU mendakwa mereka sering tidak mengetahui lokasi sebenar mereka akan dihantar dan kebanyakannya akhirnya ditempatkan di barisan hadapan tanpa latihan.
Menurut agensi itu, corak serupa turut dikesan melibatkan warga Nepal, Cuba, Kenya dan India.
Korea Utara pula sudah menghantar ribuan anggota tentera untuk berperang bagi pihak Rusia, manakala warga beberapa negara lain dilaporkan terpikat dengan tawaran pekerjaan awam yang mengelirukan.
Namun, jumlah sebenar mereka yang direkrut menerusi tawaran palsu dan mereka yang secara sukarela menyertai sebagai askar upahan masih tidak diketahui.
DUA WARGA INDONESIA PERNAH DIKESAN SERTAI TENTERA RUSIA
Selain lapan individu tersebut, dua warga Indonesia sebelum ini dilaporkan menyertai tentera Rusia.
Seorang daripada mereka ialah bekas anggota Marin Tentera Laut Indonesia, Satria Arta Kumbara, yang dipecat selepas meninggalkan tugas tanpa kebenaran pada 2022.
Keberadaannya di Rusia mendapat perhatian pada Mei 2025 selepas gambar dan video menunjukkan beliau memakai pakaian seragam tentera Rusia tersebar di TikTok. Perkara itu kemudian disahkan Tentera Laut Indonesia.
Encik Satria berkata beliau pergi ke Rusia untuk mencari rezeki. Pada Julai 2025, beliau muncul dalam satu lagi video meminta Presiden Prabowo Subianto dan pemerintah membantunya pulang ke Indonesia.
Kes kedua melibatkan Muhammad Rio, bekas anggota Briged Mobil Polis Aceh.
Polis Aceh menyatakan Rio tidak hadir bertugas tanpa kebenaran sejak 8 Disember 2025. Pada 7 Januari lalu, dia menghantar gambar dan video dirinya bersama tentera Rusia serta mendakwa sudah menyertai kumpulan askar upahan Wagner.
Menurut Polis Aceh, Rio mendakwa menerima bonus awal 2 juta rubel (S$32,000) dan gaji bulanan 210,000 rubel (S$3,300).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.