Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

8 suspek pengganas ditahan polis M'sia

Seorang warga Filipina yang terlibat memenggal kepala tebusan Kumpulan Abu Sayyaf merupakan antara lapan individu yang ditahan polis di Sabah dan Putrajaya dalam beberapa serbuan antara 30 Okt dan 12 Nov lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
8 suspek pengganas ditahan polis M'sia

Polis Malaysia menahan 8 suspek disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas. (Gambar Polis Diraja Malaysia)

Diterbitkan : 16 Nov 2018 04:06PM Dikemas Kini : 16 Nov 2018 04:10PM

KUALA LUMPUR: Seorang warga Filipina yang terlibat memenggal kepala tebusan Kumpulan Abu Sayyaf merupakan antara lapan individu yang ditahan polis di Sabah dan Putrajaya dalam beberapa serbuan antara 30 Okt dan 12 Nov lalu.

Ketua Polis Negara Encik Mohamad Fuzi Harun berkata operasi menahan kesemua suspek yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas itu dilakukan Bahagian Anti Pengganasan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini (16 Nov), beliau berkata tangkapan pertama melibatkan lelaki tempatan yang bekerja sebagai ejen menjual jongkong emas berusia 38 tahun di Putrajaya pada 30 Okt.

“Suspek terlibat dalam menyalurkan dana kepada Akel Zainal (rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria) pada 2017 bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan,” katanya.

Penangkapan kedua pada 1 Nov di Tenom, Sabah melibatkan tiga suspek warga Filipina berusia 27, 34 dan 51 tahun yang bekerja sebagai pekerja buruh.

“Mereka menganggotai Kumpulan Abu Sayyaf yang terlibat dalam kegiatan penculikan untuk wang tebusan di selatan Filipina dan Sabah,” kata Encik Mohamad Fuzi sambil menambah suspek yang berusia 34 tahun itu mempunyai kemahiran menghasilkan senjata api bagi kegunaan kumpulan berkenaan.

Penangkapan seterusnya dilakukan di Ranau, Sabah pada 8 Nov melibatkan dua lagi warga Filipina berusia 35 dan 46 tahun yang masing-masing bekerja sebagai pekerja buruh dan juruteknik.

"Suspek berusia 35 tahun berperanan merekrut kanak-kanak untuk menyertai Kumpulan Abu Sayyaf dan dijadikan perisai manusia semasa bertempur dengan tentera Filipina di Basilan, selatan Filipina.

"Beliau juga terlibat dalam memenggal kepala tebusan kumpulan itu. Semasa ditangkap, kedua–dua suspek sedang merancang untuk melarikan diri ke selatan Filipina bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa Malaysia,” kata Encik Mohamad Fuzi.

Ketua Polis Negara berkata dalam serbuan keempat pada 10 Nov lepas di Kinarut, Sabah, seorang tukang besi warga Filipina berusia 30 tahun ditahan. Dia merupakan ketua Kumpulan Abu Sayyaf yang juga orang kanan kepada Furuji Indama, pemimpin kanan kumpulan berkenaan.

Operasi kelima dan terakhir menghasilkan penangkapan seorang peniaga pasar malam, warga Filipina berusia 60 tahun di Tenom, Sabah pada 12 Nov.

Suspek terlibat melindungi seorang suspek yang ditangkap pada 8 Nov semasa cuba melarikan diri daripada buruan polis.

Kesemua mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan