8 suspek militan dipercayai sebahagian rangkaian ISIS ditahan di Sulawesi Tengah
Polis elit Indonesia, Densus 88, memberkas 8 suspek militan di Parigi Moutong dan Poso Sulawesi Tengah. (Gambar: Central Sulawesi Regional Police)
Operasi tersebut dijalankan oleh unit antipengganas elit Indonesia, Densus 88, melalui serbuan yang diselaraskan di daerah Parigi Moutong dan Poso.
Jurucakap polis Indonesia, Mayndra Eka Wardhana, berkata empat suspek yang dikenal pasti sebagai A (43 tahun), A (46 tahun), S (47 tahun), dan DP (39 tahun) ditahan di Parigi Moutong. Manakala empat lagi suspek, iaitu R (32 tahun), AT (29 tahun), RP (32 tahun), dan ZA (37 tahun), ditangkap di Poso.
Penangkapan dibuat dalam serbuan antara 1.30 pagi hingga 3.30 pagi waktu tempatan. Kesemua suspek dibawa oleh unit elit tersebut untuk soal siasat lanjut.
Suspek dipercayai merupakan sebahagian daripada rangkaian "tidak aktif buat sementara waktu" yang mempunyai hubungan dengan MIT, sebuah kumpulan militan yang beroperasi secara rahsia dari Poso.
Siasatan awal mendapati mereka didakwa menyebarkan propaganda ekstremisme melalui catatan media sosial, video, dan kandungan lain yang berkaitan dengan radikalisme dan keganasan. Mereka juga dipercayai terlibat dalam aktiviti keganasan yang lain.
Antara empat suspek yang ditangkap di Parigi Moutong, seorang suspek yang ditahan di kampung Tomoli Utara sekitar pukul 1.30 pagi dikenali oleh para penduduk tempatan sebagai penjual buah yang menjalani kehidupan biasa.
Suspek tersebut ditahan tanpa sebarang tentangan. Pegawai polis kemudian merampas beberapa barangan termasuk enam bilah parang, telefon bimbit, dan kad bank selepas menggeledah rumahnya.
"Lelaki itu menjual buah setiap hari, jadi dia tidak menimbulkan rasa curiga dalam kalangan penduduk," kata ketua kampung Tomoli Utara, Jufri Haruji, seperti yang dipetik oleh agensi berita Antara. Encik Jufri menambah bahawa penangkapan itu mengejutkan para penduduk kerana tiada aktiviti mencurigakan yang dapat dilihat sebelum ini.
Jurucakap polis, Wardhana, menegaskan bahawa operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk membendung fahaman radikal dan melindungi keselamatan negara.
Kumpulan MIT sebelum ini dikaitkan dengan ISIS dan terlibat dalam beberapa serangan di Indonesia, terutamanya di Poso. Kumpulan itu disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Jabatan Negara Amerika dan dikenakan sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 2015.
Kumpulan militan itu diasaskan sekitar tahun 2010 oleh Abu Wardah, atau lebih dikenali sebagai Santoso. Kepimpinan kumpulan itu kemudian bertukar kepada Ali Kalora selepas Santoso maut ditembak polis pada 2016. Ali Kalora pula terbunuh pada 2021.
Kini, kumpulan tersebut sebahagian besarnya telah tumpas. Sulawesi Tengah sudah lama menjadi kawasan tumpuan rangkaian ekstremis, di mana Poso khususnya sering dipantau rapi oleh polis Indonesia kerana aktiviti militan masa lalu. Sekalipun demikian, keupayaan MIT semakin lemah ekoran operasi antipengganas yang berterusan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.