8 pusat pemindahan sementara dibuka di Johor
(Gambar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)
JOHOR BAHRU: Johor mula dilanda banjir dengan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah setakat pukul 1.00 tengah hari Selasa (24 Jan).
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr Azmi Rohani berkata, semua PPS di Kluang, Kota Tinggi dan Segamat kini menempatkan 74 keluarga terdiri daripada 298 orang penduduk dari lapan kawasan yang terjejas.
Semua PPS itu mula dibuka antara pukul 11.00 pagi hingga 2.00 petang, Astro AWANI memetik kenyataan Dr Azmi.
"Segamat mencatat mangsa banjir paling ramai iaitu 347 orang dari 105 keluarga yang ditempatkan di lima PPS, iaitu Dewan Serbaguna Pekan Air Panas (104 orang), Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah (68), Dewan Kg Sungai Gatom, Labis (59), Dewan Serbaguna Kota Segamat Kecil (99) dan Balairaya Kampung Seberang Batu Badak (17).
"Dua PPS dibuka di Kluang masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana (8 orang) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Ping Ming (18).
"Manakala di Kota Tinggi pula, satu PPS dibuka di Dewan Kampung Baru Sungai Mas dengan 41 penduduk Kampung Baru Sungai Mas membabitkan enam keluarga dipindahkan ke dewan itu," menurutnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia berkenaan Monsun Timur Laut (MTL), Johor antara yang berada dalam amaran bahaya dan buruk sehingga Rabu (25 Jan).
Dilaporkan, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru berada dalam amaran bahaya yang mana dijangka menerima hujan yang sangat lebat secara berterusan.
Manakala, Segamat, Batu Pahat dan Pontian pula diberikan amaran buruk iaitu hujan lebat berterusan dijangka berlaku.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.