8 Oktober tarikh PRU15 Malaysia? Hanya spekulasi, kata UMNO
Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan (Gambar: Agensi berita)
PONTIAN: Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menganggap tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang kononnya bakal diadakan pada 8 Oktober depan, hanya spekulasi semata-mata, lapor Harian Metro.
Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan berkata, penularan beberapa tarikh penting membabitkan PRU15 itu yang semakin hangat disebarkan itu adalah lumrah dunia politik.
Apatah lagi katanya, penggal pentadbiran negara bakal cukup tempoh tahun depan.
"Itu spekulasi yang berpanjangan (tular tarikh PRU15). Spekulasi PRU15 ini setiap minggu akan ada. Saya anggap ia sebagai hanya spekulasi sehingga Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob betul-betul bubarkan Parlimen nanti.
"Jika tidak, spekulasi tarikh PRU15 ini akan kekal hanya sebagai spekulasi sahaja. Apa pun, kita jangka tarikh PRU15 tidak akan lama lagilah. Kalau sampai bulan lima tahun depan, itu dah lengkap lima tahun," katanya, seperti dinukil Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis kibaran Jalur Gemilang Peringkat Parlimen Pontian di Sungai Pinggan pada Rabu (17 Ogos).
Sejak Selasa (16 Ogos), tular di media sosial tarikh-tarikh utama membabitkan PRU15 termasuk pembubaran Parlimen (1 September), penamaan calon (25 September) dan tarikh mengundi (8 Oktober).
Dalam pada itu, Encik Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, beliau secara peribadi turut berharap PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat.
"Kita harap lagi cepat lagi baik. Itu pandangan saya secara peribadi, malah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Zahid Hamidi Ahad lalu turut dilaporkan beliau berharap PRU15 diadakan tahun ini juga.
"Yang penting bagi kita adalah persiapan rapi untuk berhadapan PRU15. BN juga akan menyelesaikan baki pemukiman negeri membabitkan Johor (minggu ini) Melaka (Ahad), Perak (Isnin) dan diakhiri Pahang, hujung minggu depan.
"Ia bagi mempersiapkan UMNO dan BN dalam berhadapan PRU-15," katanya, seperti dipetik Harian Metro.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.